USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI: USM RAIKAN ULANG TAHUN HUBUNGAN DIPLOMATIK MALAYSIA-CHINA KE-50

WhatsApp Image 2024 01 06 at 1.51.55 PM

USM PULAU PINANG, 6 Januari 2024 – Bersempena sambutan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-China buat kali ke-50, Universiti Sains Malaysia (USM) tidak melepaskan peluang meraikannya dengan menganjurkan program Sayembara Deklamasi Puisi Piala YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Pertandingan mendeklamasikan puisi-puisi hasil karya Awang Sariyan ini telah melibatkan penyertaan 37 pelajar institut pengajian tinggi dari kedua-dua buah negara iaitu Malaysia dan China.

Sayembara ini adalah anjuran bersama Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM dan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan USM dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara antara lainnya bagi meraikan peranan bahasa Melayu sebagai wahana dalam interaksi budaya dan tamadun Malaysia-China.

Berucap di majlis perasmian dan penyampaian hadiah, Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, USM, yang mewakili Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Salasiah Che Lah berkata, penganjuran pertandingan ini dapat mengantarabangsakan kesusasteraan Melayu terutama puisi melalui penghayatan semasa pendeklamasian.

WhatsApp Image 2024 01 06 at 1.51.58 PM

“Mesej utama penganjuran sayembara ini adalah untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu di China dengan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar negara China dan memartabatkan puisi Melayu dalam kalangan pelajar tempatan,” ucap beliau di majlis tersebut. 

Kata beliau lagi, Bahasa Melayu berkembang dengan pesat sekali di negara China dan sehingga hari ini, sudah terdapat 14 institusi pengajian tinggi di China yang menawarkan program Bahasa Melayu. 

“Sehubungan dengan itu, bersempena sambutan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-China ke-50 pada tahun 2024, sayembara anjuran USM ini sebagai sokongan dan meraikan peranan bahasa Melayu sebagai wahana dalam interaksi budaya dan tamadun Malaysia-China,” jelas Salasiah lagi.

Di majlis yang sama, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong berkata, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM dengan kerjasama beberapa buah pusat pengajian lain telah mula menawarkan Program Pemindahan Kredit Bahasa Melayu (PROPERBM) sejak tahun 2018. 

WhatsApp Image 2024 01 06 at 1.51.56 PM1   WhatsApp Image 2024 01 06 at 1.51.57 PM2

“Melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 11 buah Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari negara China, setiap tahun puluhan pelajar jurusan Bahasa Melayu dari negara China akan dihantar ke USM untuk mengikuti PROPERBM. 

“Pada sidang akademik 2023/2024, USM telah menerima seramai 74 orang pelajar PROPERBM dari 6 buah IPT China,” jelas Jasni.

Kata beliau lagi, selain pelajar-pelajar negara China mengikuti kursus-kursus bahasa, terjemahan, kebudayaan, kesusasteraan, politik dan ekonomi di dalam bilik darjah, mereka turut dibawa ke luar bilik darjah untuk mendekati sekali gus menghayati amalan budaya masyarakat Melayu. 

WhatsApp Image 2024 01 06 at 1.51.57 PM1   WhatsApp Image 2024 01 06 at 1.51.56 PM2

“Adunan kaedah pengajaran dan pembelajaran sebegini diharap dapat membantu meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu pelajar melalui cara yang lebih menarik dan praktikal,” kata Jasni.

Pada pertandingan kali ini, seramai 14 orang peserta bertanding bagi kategori China manakala 23 orang pula bertanding bagi kategori Malaysia.

Bagi kategori Malaysia, juara menjadi milik Akmal Hasif Mohamad Sukri dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), naib juara disandang oleh Elvienie Petrus dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan ketiga milik Muhammad Faris Fiqran Muhamad dari Multimedia University (MMU).

WhatsApp Image 2024 01 06 at 1.51.50 PM

Untuk kategori China pula, juara Sayembara Deklamasi Puisi telah disandang oleh Huang Yu dari Universiti Minzu Guangxi, China, manakala naib juara jatuh kepada Tang Xinyi dari Universiti Komunikasi Cina, China dan ketiga, Zhang Siyu dari Institut Chengdu, China.

Yang turut hadir adalah penaja utama Sayembara iaitu Ahli Dewan Negara, Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan isteri Datin Seri Haryani Haron; Konsul Republik China di Pulau Pinang, Zheng Fang; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Armin Azhari Saleh; dan Penyelaras Unit Pemartabatan dan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Sayembara Puisi USM, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 265

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024