USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RANGKUL ANUGERAH BUKU UMUM TERBAIK (KELESTARIAN WARISAN) DI MAJLIS ANUGERAH BUKU NEGARA 2023

USM PULAU PINANG, 3 Januari 2024 – Selain unggul dengan 10 kemenangan dalam Anugerah MAPIM-KPT ke-14 baru-baru ini, Penerbit USM juga membawa pulang trofi Anugerah Buku Umum Terbaik (Kelestarian Warisan) dalam Anugerah Buku Negara 2023 (ABN 2023) yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim pada 21 Disember 2023 yang lalu.

Infografik Anugerah Buku Negara 2023

Anugerah itu dimenangi menerusi buku Tun Saban Pengasas Hulu Perak karya Profesor Dr. Jelani Harun, pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM.

Syukur atas pengiktirafan ini, dan syabas diucapkan kepada penulis.

Jelani adalah antara penulis Penerbit USM yang paling banyak menerima penganugerahan pada pelbagai peringkat.

Selain itu, dua lagi staf USM iaitu Dr. Nasha Rodziadi Khaw (pensyarah kanan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global) dan Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun (Pengarah Penerbit USM) turut mendapat pengiktirafan apabila berkolaborasi dengan Mohd. Kasturi Mohd Nor [Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) UniMAP] dalam penyuntingan buku berjudul Sorotan Sejarah Perlis: Perkembangan Kebudayaan dan Sosioekonomi, terbitan Penerbit UniMAP.

Buku tersebut memenangi Anugerah Kategori Pengajian Tinggi (Penyunting Terbaik). Tahniah diucapkan.

Anugerah Buku Negara merupakan majlis berprestij tahunan yang dianjurkan Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), untuk mengiktiraf dan menghargai warga kerja buku di sebalik tabir industri penerbitan Malaysia, selain sebagai usaha meningkatkan mutu penerbitan judul dan karya baharu serta menyemai budaya menulis dan membaca masyarakat.

Tahun ini majlis anugerah itu menerima penyertaan sebanyak 500 judul buku daripada lebih 50 penerbit yang terdiri daripada penerbit universiti, agensi kerajaan, swasta dan persendirian membabitkan 43 pemenang.

Anugerah-anugerah utama telah disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir pada majlis tersebut.

Yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir serta pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UPSI serta YPBN.

Tetamu kenamaan lain termasuk Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad; Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Amirudin Shari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali; serta Pengerusi YPBN, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.

Teks: Tan Ewe Hoe/Infografik: Penerbit USM  

  • Created on .
  • Hits: 278

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024