USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GENAP SETAHUN TERAJU USM: NC ZAHIRKAN UCAPAN TERIMA KASIH

USM PULAU PINANG, 3 Januari 2024 – Genap setahun menerajui Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Naib Canselor kesembilan, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menzahirkan setingi-tinggi penghargaan buat semua warga kampus atas sokongan dan komitmen tinggi dalam menyumbang kepada pembangunan Universiti.

WhatsApp Image 2024 01 04 at 10.31.32

Beliau berkata, momentum USM pada ketika ini amat baik dan beliau akan meneruskan segala usaha yang telah dijalankan termasuk memperkasa agenda APEX dan empat strategi yang menyokong dan menjayakan Ekonomi MADANI: Pendidikan Tinggi (4P).

Strategi 4P yang dinyatakan termasuk penyediaan bakat, penyelidikan dan inovasi, pemindahan dan perkongsian ilmu serta pengantarabangsaan.

Katanya, USM turut menjadi perintis bagi beberapa program berimpak tinggi yang dapat memperluas jaringan strategik bersama komuniti dan industri termasuk yang terkini, program Inkubator Penyelidikan dan Serap Industri Kementerian Pendidikan Tinggi (MRI3).

“Kita telah bermula dengan baik untuk memberi impak kepada pemegang taruh dan kita juga mempunyai hala tuju strategik untuk terus mengimplementasi segala idea yang dirancang ke peringkat seterusnya.

WhatsApp Image 2024 01 04 at 10.31.33

“Kelestarian kewangan masih menjadi fokus Universiti pada tahun ini dan saya yakin kita akan terus bergerak mengikut momentum,” jelas beliau.

Abdul Rahman turut menyuarakan harapannya untuk melihat semua warga Universiti peka dengan dunia luar, termasuk melihat peluang yang boleh dimanfaatkan menerusi teknologi Artificial Intelligence (AI) dan digitalisasi.

“Sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih buat semua warga USM yang telah sama-sama berusaha dan menjalankan amanah masing-masing dengan begitu baik.

“Saya akui banyak cabaran yang akan dihadapi di masa-masa akan datang namun saya percaya dengan kerjasama dan komitmen semua, USM akan terus melakar pelbagai kisah kejayaan dan memberi impak,” katanya.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa 

SDG16

  • Created on .
  • Hits: 396

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024