USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM RAIH ANUGERAH BERGANDA GPMS DI PERSIDANGAN AGUNG TAHUNAN (PAT) KALI KE-68 & 69

USM PULAU PINANG, 26 Disember 2023 – Pelajar tahun 3, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siswa GPMS (Kategori Cendekiawan) serta Anugerah Ikon Pemimpin GPMS (Kategori Kepimpinan Inklusif), bersempena dengan Persidangan Agung Tahunan (PAT) Kali ke-68 & 69, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang berlangsung pada 22-24 Disember 2023 di UiTM Dengkil, Selangor.

412969926 851475373443758 2855968509383586845 n 

Muhammad Nazmi Hakimi adalah antara sembilan (9) orang penerima Anugerah Siswa GPMS Kategori Cendekiawan yang telah dipilih.

Hadiah telah disampaikan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, manakala bagi Anugerah Ikon Pemimpin GPMS Kategori Kepimpinan Inklusif, seramai 21 orang penerima telah dipilih dan hadiah telah disampaikan oleh YB Tuan Adam Adli, Timbalan Menteri Belia Dan Sukan.

Muhammad Nazmi Hakimi juga merupakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Sidang Akademik 2023/2024, adalah seorang aktivis belia yang mana beliau menjawat jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa GPMS Negeri Perak dan juga merupakan Ahli Parlimen Belia Malaysia.

Anugerah-anugerah tersebut diberikan kepada ahli-ahli GPMS yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam setiap lapangan sama ada akademik, sahsiah mahupun kepimpinan.

"Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas penganugerahan anugerah ini, yang mana kejayaan ini bukanlah kejayaan saya seorang, tetapi juga atas sokongan dan dorongan daripada orang sekeliling saya.

“Anugerah ini memotivasikan saya untuk terus melangkah jauh dalam dunia belia dan untuk terus menabur bakti sebagai aktivitis belia di Malaysia,” katanya.

Harapan Muhammad Nazmi Hakimi adalah dengan kejayaan yang diperoleh ini, ianya dapat memberikan inspirasi kepada rakan-rakan yang lain di luar sana untuk bersama-sama mengaktifkan diri dalam dunia belia dengan menjadi seorang yang berjasa kepada masyarakat tidak kira dalam apa jua lapangan dan bidang.

Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas atas kejayaan berganda tersebut.

Prestasi yang membanggakan ini juga bakal menjadi penanda aras kepada lebih ramai pelajar-pelajar lain untuk turut sama berusaha memupuk bakat kepimpinan belia seawal mungkin, sejajar dengan hasrat universiti dalam memperkasa mahasiswa MADANI seterusnya menjadi warganegara yang berguna kepada masyarakat dan negara. 

Teks & Foto: NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Dokumentasi BHEPA/Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman, YDP MPP USM SA 2023/2024

  • Created on .
  • Hits: 268

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024