USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROF. VICKNASINGAM DILANTIK AHLI PANEL PENASIHAT PAKAR WHO MENGENAI KEBERGANTUNGAN TERHADAP DADAH/UBAT-UBATAN

USM PULAU PINANG, 30 Disember 2023 – Profesor Dr. B. Vicknasingam dari Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) diberi penghormatan apabila dilantik sebagai Ahli Panel Penasihat Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai Kebergantungan Terhadap Dadah/Ubat-ubatan.

Pelantikan tersebut yang berkuat kuasa pada bulan ini adalah untuk tempoh selama empat tahun.

Vicknasingam, yang bidang kepakarannya adalah penyalahgunaan dan ketagihan substans, menyifatkan pelantikannya ini merupakan satu penghormatan kepadanya untuk menyumbang kepakarannya dalam jawatankuasa WHO tersebut.

Dengan memiliki kepakaran dalam dasar dadah/ubat-ubatan, penggunaan dadah/ubat-ubatan serta tingkah laku berisiko HIV, Vicknasingam, yang telah berkhidmat di USM selama lebih dua dekad, berkata peranannya adalah untuk membuat cadangan kepada WHO berkenaan dadah/ubat-ubatan yang muncul di pasaran.

"Terdapat banyak dadah/ubat-ubatan baharu yang muncul di pasaran, dan WHO perlu membuat kajian yang teliti dan menyeluruh untuk melihat sama ada dadah/ubat-ubatan tertentu menyebabkan kebergantungan terhadapnya," kata Vicknasingam.

“Jawatankuasa tersebut akan meneliti data, menentukan dan membuat cadangan kepada WHO sama ada dadah/ubat-ubatan tertentu boleh menyebabkan kebergantungan terhadapnya atau pun sebaliknya. Agensi itu kemudiannya akan memutuskan sama ada dadah/ubat-ubatan tertentu itu perlu diklasifikasikan sebagai dadah/ubat-ubatan yang menyebabkan kebergantungan atau tidak."

Anak kelahiran Bukit Mertajam berusia 51 tahun itu, yang juga telah membuat kajian mendalam mengenai ketum (kratom), berkata bahawa dia sentiasa melihat kebergantungan terhadap dadah/ubat-ubatan sebagai keadaan perubatan, dan bukan jenayah.

Beliau berkata mereka yang bergantung kepada dadah/ubat-ubatan perlu diberi rawatan, dan tidak dimasukkan ke penjara.

Minat penyelidikan Vicknasingam termasuk memahami dan membangunkan intervensi tingkah laku untuk mereka yang menggunakan dadah/ubat-ubatan. Tinjauan untuk mengenal pasti halangan rawatan bagi mereka yang menggunakan dadah/ubat-ubatan, dan penyepaduan rawatan penyalahgunaan substans dengan perkhidmatan perubatan lain yang sedia ada, juga merupakan bidang yang diminatinya.

Antara beberapa hasil kerja penyelidikannya yang telah diterbitkan ialah ‘Severity of Kratom (Mitragyna speciosa Korth) – Psychological Withdrawal Symptoms’ (2018); ‘Decriminalisation of Drug Use’ (2018), ‘Changing Trends in the Use of Kratom’ (2017); dan ‘Kratom (Mitragyna speciosa) Dependence, Withdrawal Symptoms, and Craving in Regular Users’ (2014).

Terjemahan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 246

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024