USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGURUSAN INOVASI ORGANISASI DIMUDAHKAN DENGAN MS ISO 56002:2019 - INNOVATION MANAGEMENT - INNOVATION MANAGEMENT SYSTEM - GUIDANCE

WhatsApp Image 2023 12 07 at 13.25.43

USM PULAU PINANG, 29 Disember 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Standard Malaysia (JSM) telah mengambil inisiatif untuk memudahkan pengurusan inovasi organisasi dengan pelancaran ‘MS ISO 56002:2019 - Innovation management - Innovation management system – Guidance’ pada 7 Disember 2023 yang lalu, bersempena 15th Asian Academy of Management International Conference (AAMC 2023) yang berlangsung di Kampus Induk USM.  

MS ISO 56002:2019 telah dilancarkan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; dan Pengarah Seksyen Fasilitasi Perdagangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jamaliah Hamzah, mewakili Ketua Setiausaha MITI; serta diringi Pengarah Kanan Standardisasi, JSM, Hussalmizzar Hussain.

Menurut kenyataan akhbar dari JSM, MS ISO 56002:2019 ialah dokumen standard yang menyediakan panduan kepada penubuhan, pelaksanaan, pengekalan dan penambahbaikan secara berterusan terhadap sistem pengurusan inovasi bagi kegunaan semua organisasi yang ditubuhkan dengan memfokuskan pada inovasi dan daya saing organisasi serta pembangunan komuniti.

Ia juga sejajar dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), khususnya dari segi penggunaan teknologi dan pendigitalan, bertujuan untuk memacu inovasi, meningkatkan produktiviti, dan mencipta peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi. 

Asian Academy of Management International Conference 2023 (AAMC 2023) anjuran bersama Pusat Pengajian Pengurusan, USM dan Akademi Pengurusan Asia (AAM) mendapat sambutan dan penyertaan yang begitu menggalakkan daripada seramai 300 peserta terdiri daripada penyelidik, akademik, penggubal dasar, pengamal dan kumpulan profesional dalam bidang perniagaan dan pengurusan.

'Creating a Sustainable Future: Powering Innovation and Accelerating Transformation' dipilih sebagai tema persidangan yang menekankan keperluan inovasi untuk memacu transformasi serta pendekatan holistik dan bersepadu dalam menangani cabaran global masa kini.

Persidangan ini menyeru untuk memupuk inovasi teknologi yang mengutamakan kemampanan, menggalakkan kerjasama global, menyokong dasar kelestarian, dan memberi inspirasi kepada peralihan budaya ke arah amalan lestari yang bertanggungjawab.

Melalui pendekatan ini, kita boleh bersama-sama membina masa depan yang lebih cerah, inklusif, dan mampan untuk semua.

Kemuncak AAMC 2023 menyaksikan ucaptama oleh penceramah terkemuka, iaitu Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio (Ketua Eksekutif & Pengarah Urusan Kumpulan, PKT Logistics Group Sdn. Bhd.) dan Dato’ Sheikh Muszaphar Shukor (Angkasawan Pertama Malaysia), serta Forum Inovasi bersama panel industri mengenai inovasi dan piawaian ISO. 

Persidangan selama tiga hari (7-9 Disember 2023) itu juga mengadakan upacara penyampaian beberapa anugerah kepada tetamu-tetamu kehormat.

Yang turut hadir ialah Ahli Lembaga Gabenor USM dan juga Ketua Pegawai Digital USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; Dekan Pusat Pengajian Pengurusan USM, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad; Presiden Akademi Pengurusan Asia (AAM), Professor Dr. Hasliza Abdul Halim; dan rakan-rakan strategik AAM.

Sumber: Kenyataan media JSM/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 240

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024