USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TERAPI OKSIGEN HIPERBARIK BANTU SEMBUH LUKA KRONIK

IMG 20231207 WA0001

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Disember 2023 – Terapi Oksigen Hiperbarik atau lebih dikenali sebagai ‘Hyperbaric Oxygen Therapy’ (HBOT) adalah rawatan perubatan yang mana seseorang diletakkan di dalam ruang atau mesin yang akan menyalurkan 100 peratus (%) oksigen pada tekanan yang lebih besar daripada tekanan atmosfera biasa.

Tekanan yang lebih besar ini bermakna bahawa oksigen yang diberikan boleh dirujuk oleh nombor yang lebih besar daripada 100% serta menunjukkan tekanan relatif gas di dalam ruang memberi lebih banyak oksigen daripada kebiasaan yang diterima tubuh manusia.

Dalam keadaan biasa, manusia bernafas menggunakan 21% oksigen di tahap tekanan atmosfera 1 ATA atau 760 mmHg atau 14.7 psi.

Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga Pakar Perubatan Kecemasan dengan subkepakaran bidang perubatan hiperbarik, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman berkata, dalam konteks badan manusia dan fisiologi, apabila tekanan udara meningkat, maka jumlah oksigen yang larut dalam darah akan meningkat.

IMG 20231207 WA0003

“Fenomena peningkatan oksigen mengalir ke tisu badan akan membantu sel-sel badan yang rosak untuk pulih dan sembuh.

“Rawatan ini mengguna pakai dua (2) prinsip fizik iaitu prinsip ‘Henry’s Law’ yang menyatakan jumlah molekul yang larut dalam cecair berkadar terus dengan tekanan udara pada suhu yang konsisten, dan prinsip ‘Boyle’s Law’ yang menyatakan saiz buih adalah berkadar songsang dengan tekanan udara dan sekiranya tekanan udara meningkat, maka saiz buih dalam badan akan mengecil,” ujarnya semasa ditemu bual berhubung rawatan HBOT ini.

Tambah Nik Hisamuddin, pada awalnya, HBOT diguna pakai untuk perawatan kes penyahmampatan ‘Decompression Illness’ atau DCI dalam kalangan penyelam.

“Namun, kajian saintifik telah membuktikan dua (2) kategori penyakit yang boleh dirawat menerusi HBOT ini iaitu rawatan baris pertama (first line) bagi penyahmampatan dan keracunan ‘carbon monoxide’ serta rawatan sampingan (adjunct therapy) yang terdiri daripada luka kronik kencing manis (chronic diabetic ulcer), jangkitan kuman kronik tulang (chronic osteomyelitis), lecuran kulit, luka akibat radiasi (radionecrosis), tisu nekrosis (gangrene & necrosis) dan surgeri flap (flap surgery).

“HBOT juga dipercayai boleh mengurangkan kos perawatan luka kronik dan mengelakkan amputasi kaki bagi pesakit diabetes (kencing manis) selain membantu mempercepatkan proses penyembuhan di samping mengelakkan risiko amputasi anggota badan,” jelasnya lagi.

Menurut Nik Hisamuddin, Hospital USM telah menawarkan perkhidmatan rawatan HBOT sejak September 2005 dan sehingga kini lebih 150 pesakit telah menerima manfaat rawatan melalui terapi ini.

IMG 20231207 WA0007

“Di Hospital USM, pesakit yang menggunakan rawatan terapi ini kebanyakannya akibat kes penyahmampatan dan kes luka kronik.

“Bagi kes penyahmampatan, ia berlaku disebabkan oleh buih-buih nitrogen yang terbentuk dalam tisu badan akibat kadar penyahmampatan yang cepat.

“Untuk kes begini, HBOT mengguna pakai teori ‘Boyle's Law’ iaitu tekanan udara perlu dinaikkan sehingga tiga (3) kali ganda dalam persekitaran 100% oksigen kerana tekanan udara yang tinggi akan mengakibatkan saiz buih nitrogen menguncup,” katanya.

Nik Hisamuddin turut menjelaskan rawatan HBOT bagi kes luka kronik pula mengguna pakai teori ‘Henry's Law’.

“Kesan peningkatan tekanan udara semasa sesi HBOT mengakibatkan lebih banyak molekul oksigen larut dalam darah dan dihantar ke tisu-tisu badan serta peningkatan jumlah oksigen dalam badan akan mempercepatkan proses kesembuhan sel-sel luka.

“Rawatan HBOT untuk kes penyahmampatan biasanya memerlukan dua (2) atau tiga (3) sesi yang mengambil masa lima (5) jam untuk setiap sesi bergantung kepada tindak balas kesembuhan pesakit berbeza dengan HBOT.  

“Bagi kes rawatan luka kronik (akibat kencing manis) pula, kebiasaannya mengambil masa 90 hingga 120 minit untuk setiap sesi dengan jumlah sesi purata 30 hingga 50 kali bergantung kepada tindak balas penyembuhan luka,” terangnya lagi.

Nik Hisamuddin berkata, Hospital USM merupakan satu-satunya Hospital Pengajar Universiti (HPU) yang menawarkan rawatan HBOT selain fasiliti kesihatan ketenteraan iaitu Hospital Angkatan Tentera, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dan Sepanggar Sabah.

“Rawatan HBOT sebenarnya telah lama wujud, namun di Malaysia ianya masih tidak diketahui ramai termasuk dalam kalangan pegawai perubatan.

“Dengan kos rawatan RM200 untuk setiap sesi, saya percaya rawatan HBOT boleh membantu mempercepatkan proses penyembuhan pesakit luka kronik selain mengurangkan kos perawatan yang terpaksa ditanggung untuk rawatan biasa yang mengambil masa agak lama untuk sembuh serta mengelak risiko amputasi anggota badan.

“Sebarang pertanyaan berhubung rawatan HBOT, sila hubungi juruteknologi atau Pakar Perubatan Hiperbarik menerusi talian 09-7673223 atau emel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.,” ulas beliau lanjut.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman 

  • Created on .
  • Hits: 300

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024