USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ALUMNI SELEBRITI USM WARNAI SIDANG TERAKHIR UPACARA KONVOKESYEN

406256751 775662544600497 4912076316308266604 n

USM PULAU PINANG, 1 Disember 2023 – Sidang Ketiga belas Upacara Konvokesyen ke-61 Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah menyaksikan kilauan istimewa dengan kehadiran dua selebriti tanah air yang juga merupakan alumni USM.

Mereka yang hadir mewarnai suasana pada sidang terakhir upacara itu adalah Ahmad Fedtri Yahya, yang merupakan seorang pengacara dan personaliti televisyen terkenal Malaysia bersama Nur Nabila Mohd Razali atau lebih dikenali sebagai Nabila Razali yang merupakan salah seorang penyanyi terkenal Malaysia.

Ahmad Fedtri yang merupakan graduan lulusan Sarjana Muda Komunikasi (Filem dan Penyiaran) USM pada tahun 2003 berkata, jiwanya tertarik kepada bidang seni sejak zaman persekolahan meskipun latar belakang pendidikannya adalah dalam bidang sains tulen.

Dalam sesi perkongsiannya, Ahmad Fedtri menyatakan kebanggaannya menjadi alumni USM dan betapa beertinya USM buatnya yang mana ketika bergelar sebagai pelajar USM, Ahmad Fedtri pada tahun akhir pengajiannya amat aktif dalam bidang kokurikulum dengan memegang lima jawatan utama dalam bidang tersebut.

“Tahun ini telah genap 20 tahun sejak saya menerima Pingat Emas Naib Canselor USM pada tahun 2003, yang mana melalui perjalanan yang penuh makna ini, saya amat berterima kasih kepada USM kerana telah membentuk siapa diri saya pada hari ini,” katanya.

Merenung 20 tahun perjalanannya dalam bidang kariernya, Ahmad Fedtri menitipkan pesan buat para pelajar USM yang mana menurutnya ‘belajar itu tidak mempunyai had umur’.

“Walaupun segalanya kelihatan mencabar, setiap usaha yang kita lakukan memberi makna yang mendalam. Nasihat saya kepada semua pelajar USM adalah dengan mengambil peluang yang ada dan terapkan kreativiti, kerana zaman sekarang tidak sama dengan zaman dahulu yang mana penggunaan internet adalah terhad. Saya berharap agar anda semua dapat terus menjadi duta kecil USM walau di mana sahaja anda berada,” ujarnya lagi.

406240022 775664661266952 8467746652711386342 n

Sementara itu, Nabila Razali graduan jurusan Sarjana Muda Senibina yang bergraduasi pada tahun 2015 berkongsi kenangan manisnya ketika bergelar pelajar USM.

Beliau memberanikan dirinya pada tahun kedua pengajiannya untuk menyanyi di khalayak ramai bersama kumpulan buskingnya, yang menjadi titik permulaan karier nyanyiannya.

“Selepas tamat Sijil Penilaian Menengah (SPM), saya menyambung pengajian ke tahap matrikulasi dan setelah itu saya memohon untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana muda di USM yang mana USM adalah pilihan pertama saya, dan saya bangga menjadi graduan USM.

“Saya memilih bidang Senibina kerana minat melukis sejak sekolah, dan kini saya masih menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang yang sama di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM),” katanya.

Tambah Nabila, beliau amat gembira kerana dapat menjadikan hobinya iaitu menyanyi sebagai kerjaya profesionalnya dan tidak sesekali merasakan bahawa ilmu pengetahuan yang diperolehnya dalam bidang senibina adalah sia-sia.

“Dengan ilmu pengetahuan yang saya peroleh, secara tidak langsung saya dapat mempraktikkan ilmu ini untuk menghias rumah saya sendiri kerana sudah mempunyai asas pengetahuan dalam bidang tersebut,” ujar Nabila lagi.

Nabila sempat berkongsi makanan kegemarannya ketika menuntut di USM yang mana pecal ayam Desasiswa Restu ialah pilihan utamanya.

Pada sidang terakhir tersebut yang dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Nabila telah menghiburkan seramai 763 graduan di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM dengan nyanyian lagu ‘Standing in the Eyes of the World’.

Seramai 8,166 graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing pada Sidang Pertama hingga Sidang Ketiga belas yang berlangsung pada 21 November hingga 27 November 2023 di DTSP USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 519

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024