USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LIGA IPT 2015 - BURUAN USM KE DIVISYEN SATU SEMAKIN CERAH

SCB 5375 copy

PULAU PINANG, 23 Mei 2015 – Hasrat USM Minden Tigers melayakkan diri ke divisyen satu dilihat semakin menjadi kenyataan apabila mudah menjinakkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 5-0 di perlawanan yang berlangsung di Stadium Olahraga USM hari ini.

Mula mengasak kubu lawan sebaik wisel dibunyikan, USM memperoleh peluang pertama pada minit ke-4 menerusi percubaan Anas Idham namun diselamatkan penjaga gol UPSI, Mohd Faiz.

Minit ke -13 menyaksikan hantaran lintang sempurna daripada Mohd Hazroy gagal disudahkan penyerang prolifik USM, Hamza Mohamed apabila sepakannya hanya beberapa meter meleret keluar dari pintu gol.

SCB 5132 copy

Tidak berputus asa dalam mencari gol awal, USM terus merancakkan serangan mereka melalui rangkaian yang dibentuk Hamza, Muhammad Hafiz dan Ahmad Hambali menerusi percubaan demi percubaan pada minit ke-23, 31, 35 dan 36, namun semuanya berakhir hampa.

Jentera serangan UPSI, yang memiliki antara barisan serangan terbaik dalam Liga IPT 2015 seperti hilang tumpuan tanpa sebarang percubaan bahaya dan hanya sesekali berjaya menguji benteng pertahanan USM yang diketuai Mohd Saiful.

Satu lagi peluang terbaik menerusi sepakan ‘half volley’ oleh Hamza pula menyaksikan Mohd Faiz terpaksa melayangkan badan menepis bola keluar pada minit ke-42 dan kedudukan kekal tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

SCB 5359 copy

Kata-kata semangat yang ditiup pengurus Nazru Hj. Ismail semasa rehat separuh masa ternyata menjadi tonik dan azimat buat skuad ‘Minden Tigers’.

Tidak menunggu lama untuk ‘tonik’ tersebut meresap, seawal minit ke-46, Muhammad Hafiz meledakkan jaringan pertama USM menerusi rembatan kencang dari sudut sukar sebelah kiri yang sama sekali gagal diselamatkan Mohd Faiz.

Ternyata, gol pembukaan tersebut merancakkan lagi pemburuan gol dan hasilnya pada minit ke-65, giliran Hamza mencatat nama sebagai penjaring gol kedua buat USM.

Kekebalan benteng UPSI yang diterajui Simeon Haitange semakin rapuh apabila Ahmad Hambali menjadikan kedudukan 3-0 melalui percubaan satu sama satu setelah menerima umpanan cantik Anas Idham pada minit ke-70.

Menyedari bahagian pertahanan kiri UPSI semakin mudah dibolosi, Mohd Hazroy mengambil kesempatan itu dengan menjaringkan gol keempat USM pada minit ke-84.

Tirai perlawanan ditutup menerusi sepakan percuma yang cantik disudahkan Hamza pada minit ke-90, setelah Mohd Imran dikasari di luar kotak penalti UPSI.

SCB 5394 copy

Ketua jurulatih USM Minden Tigers, Ahmad Norafandy ternyata lega dengan kemenangan ini setelah melakukan beberapa perubahan taktikal bagi menghadapi separuh masa kedua.

“Syukur alhamdulillah skuad muda ini sekali lagi membuktikan keazaman mereka, tidak mudah mengalah dan terus berjuang sehingga ke tiupan wisel terakhir.”

“Kita berada di landasan yang tepat sekarang dan diharapkan semua pemain dapat kekalkan momentum kemenangan, demi memastikan impian kita ke divisyen satu tahun hadapan menjadi nyata.”

Bagi jurulatih UPSI, Khairudin Majid, beliau hilang kata-kata menyaksikan pasukannya mudah diratah USM.

‘Perancangan hari ini serba tidak menjadi, semuanya berjaya dipatahkan pemain USM yang beraksi cemerlang dan berjaya membaca semua percaturan kami.”

Kini menduduki tangga kedua, USM hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu liga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menang tipis 1-0 menewaskan Universiti Malaya (UM) pada perlawanan waktu sama yang berlangsung di Stadium UIAM.

Berbaki tiga perlawanan terakhir USM akan menentang UM di tempat lawan pada 30 Mei nanti, diikuti menentang Kolej Komuniti Pulau Pinang di Stadium Bertam pada 2 Jun dan menutup tirai Liga IPT dengan perlawanan di tempat sendiri menentang Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 6 Jun. Semua perlawanan akan berlangsung jam 4.45 petang. - Teks: Mohamad Danial Shahri ​

  • Created on .
  • Hits: 1166

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024