USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN CHEDR METERAI PELAN HALA TUJU TINDAKAN BERSAMA

SEPANG, SELANGOR, 15 November 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan ‘Centre for Higher Education Development Research (CHEDR)’ di bawah ‘Ministry of Higher Education, Science and Innovations Republic of Uzbekistan’ hari ini memeterai satu perjanjian mercu tanda ‘Joint Action Roadmap’ (JAR) yang menggariskan aktiviti kerjasama dan pencapaian perkongsian bagi mencapai matlamat bersama dalam pembangunan pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembinaan keupayaan antara kedua-dua pihak.

IMG 20231115 WA0047

Kolaborasi ini mensasarkan 10 matlamat untuk mencapai hasil yang ketara bagi menyumbang kepada kemajuan pendidikan tinggi Malaysia dan Uzbekistan.

Majlis penandatanganan JAR disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Pengarah CHEDR, Profesor Shukhrat Yakubov disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

JAR antara USM dan CHEDR ini turut memfokuskan kepada perancangan serta penyelarasan bagi mengenal pasti titik fokus utama antara kedua-dua institusi untuk berkomunikasi dan menyelaras dengan lebih berkesan selain mewujudkan mesyuarat secara maya untuk membincangkan objektif, kemajuan dan bidang kerjasama yang berpotensi untuk diketengahkan.

Selain itu, JAR juga menjadi platform untuk kedua-dua pihak berkongsi maklumat yang berkaitan tentang projek, inisiatif dan keutamaan yang sedang dijalankan oleh kedua-dua institusi.

IMG 20231115 WA0043

Antara intipati lain yang turut menjadi fokus kolaborasi selama lima (5) tahun antara USM dan CHEDR ialah penilaian dan pengenalan keutamaan, kerjasama penyelidikan, bengkel pembinaan kapasiti, jaminan kualiti dan akreditasi, perkongsian dan penyebaran ilmu, peluang pertukaran penyelidik, penilaian, kemampanan dan kerjasama masa hadapan serta semakan dan pelan pembaharuan.

Majlis penandatanganan ini dimeterai sempena Forum Pendidikan Tinggi Global ke-8 2023 atau '8th Global Higher Education Forum 2023' (GHEF 2023) yang berlangsung bermula hari ini sehingga 17 November di Movenpick Hotel and Convention Centre, KLIA.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman; dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Zahari Ismail.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 198

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024