USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SARINGAN KESIHATAN: CEGAH SEBELUM PARAH

IMG 20231029 WA0036

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Oktober 2023 – Pengesanan awal penyakit melalui saringan kesihatan amat penting kerana kebiasaannya penyakit yang dikesan pada peringkat awal lebih mudah dirawat.

Saringan kesihatan merupakan pemeriksaan kesihatan yang mana melibatkan sejarah kesihatan, pemeriksaan fizikal dan ujian makmal bagi mengesan kehadiran atau tanda-tanda awal kehadiran penyakit yang tidak disedari.

Menurut Pakar Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Imran Ahmad, tujuan utama saringan kesihatan dilakukan adalah untuk mengesan sebarang penyakit dalam badan seseorang bagi memastikan ia sihat atau sebaliknya.

“Ia melibatkan proses mendapatkan sejarah kesihatan, melakukan pemeriksaan fizikal dan menjalani ujian yang perlu.

“Ini penting kerana pengesanan awal, siasatan susulan serta rawatan segera mampu mengurangkan risiko komplikasi kesihatan yang teruk,” ujarnya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat Kelantan FM.

Tambah Imran, terdapat pelbagai penyakit yang boleh dihidapi oleh seseorang.

“Secara dasarnya, penyakit yang dikesan dan berada di peringkat awal serta keadaannya tidak teruk lebih mudah dirawat berbanding penyakit yang lambat dikesan.

“Sesetengah penyakit dapat disembuhkan apabila dikesan dan dirawat dengan segera sebelum timbulnya pelbagai komplikasi penyakit yang biasanya lebih susah untuk dirawat.

“Lebih teruk lagi, bagi sesetengah penyakit tertentu rawatan yang dapat diberikan hanyalah bersifat paliatif bertujuan memberi keselesaan kepada pesakit menjalani hari-hari terakhir kehidupan,’ jelasnya lagi.

Imran menjelaskan bahawa perkhidmatan saringan kesihatan boleh dibuat di semua klinik-klinik kesihatan kerajaan dan juga klinik swasta.

“Hospital swasta juga menawarkan perkhidmatan eksekutif saringan kesihatan termasuk Hospital USM melalui Poliklinik USAINS bagi mereka yang inginkan masa yang fleksibel untuk melakukan saringan ini.

“Seseorang itu juga perlu melakukan beberapa persediaan sebelum melakukan saringan kesihatan seperti membuat pengesahan dengan klinik sama ada perlu berpuasa atau tidak sekiranya ia melibatkan pengambilan darah,” katanya.

Selain itu, Imran turut berpesan agar masyarakat cakna perubahan kesihatan diri dan mengambil peluang melakukan pemeriksaan kesihatan yang disediakan sekiranya diadakan di sekitar kawasan kediaman masing-masing.

“Orang ramai juga boleh mengunjungi klinik-klinik terdekat jika ingin melakukan saringan kesihatan kerana ia tidak mendatangkan kerugian kepada mana-mana pihak sebaliknya ia merupakan pelan pelaburan untuk kesejahteraan masa hadapan kita semua,” ulasnya lanjut.

Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood/Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 211

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024