USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENCAPAIAN USM DALAM SDG; USM BERKONGSI AMALAN TERBAIK BERSAMA UA LAIN

5

PUTRAJAYA, 30 Oktober 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) hari ini telah melaksanakan program Kemajuan Transformatif Ke Arah Matlamat Pembangunan Lestari: Wacana Amalan Terbaik Universiti Sains Malaysia, iaitu sebuah program perkongsian daripada USM mengenai amalan terbaik Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang telah dilaksanakan di USM.

Berlangsung di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), program tersebut adalah bukti bahawa USM cemerlang dengan menduduki tempat ke-4 terbaik di dunia untuk dua tahun berturut-turut di dalam Times Higher Education Impact Rankings (THE-GIR) dan bertujuan untuk membincangkan amalan terbaik USM berkenaan implementasi dan kecemerlangan SDG di USM untuk disebarluas di universiti-universiti lain. 

Program itu juga merupakan cetusan idea susulan daripada lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohd Khaled Nordin dalam sebulan yang lalu ke USM.

1

Perasmian program disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman, mewakili Menteri KPT.

Azlinda dalam ucapannya berkata, sebagai institusi yang berorientasikan pendidikan, penyelidikan dan jaringan masyarakat, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dilihat sebagai pemegang taruh yang penting dalam rangka kerja SDG.

“Sumbangan IPT kepada SDG bukan sahaja diukur menerusi penghasilan saintifik dan perkembangan pengetahuan semata-mata tetapi melibatkan keupayaan IPT dalam menangani cabaran global semasa, yang mana keperluan dan kepentingan SDG di dalam pendidikan tinggi adalah bersandarkan kepada aspek; 1. tanggungjawab global; 2. penyelidikan dan inovasi; dan 3. kerelevanan dan reputasi,” kata Azlinda.

Tambah Azlinda, kelestarian dan SDG di dalam pendidikan tinggi bukan hanya sekadar perkataan yang sering disebut-sebut malah ia adalah komitmen untuk membentuk dunia yang lebih baik, lebih saksama, inklusif dan lestari.

“Dalam usaha kita meneruskan perjalanan transformasi menuju SDG, marilah kita bersama-sama memahami peranan IPT dalam membentuk masyarakat MADANI dengan ilham amalan terpuji USM,” tambah Azlinda.

2

Program tersebut turut diisi dengan sesi ucaptama yang dibentangkan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bertajuk Kelestarian dan Inovasi: Implementasi dan Kecemerlangan SDG di USM.

Dalam sesi tersebut, Abdul Rahman memberikan naratif tentang keunikan USM yang membezakan USM dengan IPT lain, yang mana USM sebagai sebuah institusi penyelidikan transdisiplinari dan multidisiplinari; memperkasakan bakat; mengupayakan gologan terkebawah; serta mentransformasikan kesejahteraan sosio-ekonomi.

Antara agenda lain yang dikongsi oleh Abdul Rahman adalah:-

  1. kekuatan utama USM dalam menyokong kelestarian dan mencapai matlamat SDG;
  2. kolaborasi dan jaringan industri dengan USM;
  3. kecemerlangan SDG di USM iaitu kajian kes pencapaian SDG di USM seperti menggalakkan komuniti menternak tiram dan kelulut dalam usaha mewujudkan pengurangan kemiskinan (SDG 1) serta meningkatkan pendapatan berimpak (SDG 8); dan
  4. cabaran serta perancangan masa hadapan dalam meneruskan agenda kelestarian di USM.

3

Turut diselitkan dalam program adalah sesi forum yang bertajuk Perjalanan Kelestarian: Pengalaman dan Amalan Terbaik USM dan Kepelbagaian yang menampilkan panelis jemputan, Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) USM, Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafei; Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd dan wakil industri, ViTrox Technologies Sdn. Bhd., Dr. Bugs Tan yang dimoderatorkan oleh Ketua Komunikasi Korporat KPT, Mohamad Hafizi Rosli.

4

Pada akhir program, Timbalan Pengarah AKEPT, Azrul Izham Hamzah merumuskan keseluruhan program bahawa perkongsian ini adalah amalan terbaik yang boleh dijadikan perhatian bersama dengan mengadaptasi dan bersaing dengan sihat, yang mana persaingan ini akan mempertingkatkan indeks daya saing seterusnya memacu mutu penyampaian perkhidmatan yang lebih baik.

6

Hadir sama adalah Naib-naib Canselor Universiti Awam serta pegawai-pegawai kanan Kementerian dan USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 640

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024