WAKIL RSY USM SERTAI MENA CW2023, BINCANG MASALAH PERUBAHAN IKLIM
RIYADH, 25 Oktober, 2023 - Muhammad Azfar Nauval Bin Ilyas, telah dipilih mewakili Kelab RCE Sejahtera Youth (RSY) Universiti Sains Malaysia (USM) untuk turut bersama dengan 46 orang pelajar dan 2 orang pensyarah dalam menyertai program ‘United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCC) Middle East and North Africa Climate Week 2023 (MENA CW 2023)’ di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.
Rombongan dari USM ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Japareng Lalung (Pusat Pengajian Teknologi Industri) merangkap penyelaras RCE@Penang dan Nor Rafida Binti Mohd Seni (Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan) dan dengan segala urusan berkaitan diselaraskan oleh Pusat Mobiliti Antarabangsa dan Kolaborasi USM (IMCC).
Program antarabangsa ini telah berlangsung selama 5 hari, dari 8-12 Oktober 2023, dan disertai oleh wakil dari seluruh pelusuk dunia untuk berkolaborasi serta membincangkan isu perubahan iklim yang kini semakin membimbangkan.
MENA CW 2023 telah memberi peluang kepada golongan remaja seperti dari RSY, serta dari pelbagai lapisan individu yang mewakili pelbagai sektor dan bidang seperti penggubal dasar, usahawan, pelajar dan ramai lagi dari seluruh dunia untuk bertukar pendapat dan berkongsi idea tentang masalah perubahan iklim dan isu peningkatan suhu global.
Organisasi dari seluruh dunia telah menggunakan peluang sewaktu program ini untuk menilai perkembangan negara mereka dalam merealisasikan objektif yang termaktub dalam perjanjian Paris.
Objektif mereka adalah untuk mencari langkah yang cepat bagi meminimakan serta menghentikan perubahan iklim daripada terus berleluasa dengan menumpukan usaha terhadap beberapa sektor penting dalam negara.
Muhammad Azfar telah berpeluang menghadiri sebilangan besar forum yang berlangsung di Riyadh ini, bagi membantu anak muda dari seluruh dunia dalam membina idea yang inovatif serta mampu menyertai forum berkaitan dengan isu perubahan iklim yang semakin tenat.
Sumber dan Foto: RSY/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 569