KEJOHANAN RUGBI USM KENANG MUHAMAD IZZAMIR

Rugby 2015 0582

NIBONG TEBAL, 21 Mei 2015 –  Kejohanan Ragbi Universiti Sains Malaysia (USM) 10’s edisi ke-11 Kampus Kejuruteraan yang mendapat sambutan besar mengimbas kenangan kepada pengarah kejohanan bagi edisi ke-10 tahun lalu iaitu Allahyarham Muhamad Izzamir Nabihan A. Majid yang telah kembali ke rahmatullah semasa lawatan ke bumi Acheh pada bulan Mac yang lalu.

“Kehilangannya amat dirasakan kerana Allahyarham banyak memberi tunjuk ajar kepada kami dalam menguruskan kejohanan semasa kami semua masih sempat bersama beliau sebelum ini," kata Pengarah Projek, Mohd Fadlul Imran Abd Halim yang merupakan pelajar tahun empat, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik dan masih bersedih dengan pemergian rakan karibnya itu. 

Rugby 2015 0582

Dalam kejohanan kali ini, pasukan KPZ UPM RC menjuarai bagi kategori terbuka yang turut disertai 32 pasukan kelab dan Universiti seluruh negara dan membawa pulang piala iringan, wang tunai RM2,000 dan pingat. 

Pasukan Bluefox Warrior pula muncul naib juara dan menerima pingat serta wang tunai RM1,300. 

Rugby 2015 0954

Menurut Mohd Fadlul Imran, penyertaan pada kejohanan edisi ke-11 ini merupakan antara yang terbanyak dalam kejohanan yang biasa diadakan sebelum ini. 

“Kita menerima penyertaan yang agak besar pada tahun ini berbanding tahun lalu dan setiap pasukan melalui persaingan sengit untuk menjuarai kejohanan”, kata Mohd Fadlul.  

Rugby 2015 1065

Rugby 2015 1073

Menurutnya, kejohanan Ragbi USM 10’s merupakan acara wajib setiap tahun di Kampus Kejuruteraan, USM dan kehadirannya sememangnya ditunggu-tunggu peminat sukan lasak itu.  

Kejohanan anjuran Kelab Rugbi USM Phantom dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) ini turut disertai 16 pasukan sekolah dan matrikulasi seluruh negara.  

Rugby 2015 1032

Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1 (SMKSYP1), Kuala Krai, Kelantan yang turun sebagai pasukan pilihan tidak menghadapi sebarang tekanan untuk mengungguli kategori sekolah dan matrikulasi mengalahkan lawannya IX STAROBA dengan 33 - 0 yang memenanginya untuk kali ketiga berturut-turut dengan membawa pulang piala iringan, wang tunai berjumlah RM700 beserta pingat. 

Sementara itu, pemain terbaik perlawanan akhir terbuka dinobatkan kepada Muhammat Azril Izuan Musa dari KPZ UPM RC manakala Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi dari SMKSYP1 bagi kategori cup sekolah dan matrikulasi.  

Hadiah kejohanan disampaikan oleh Pengarah, Pusat Penyelidikan Sungai & Saliran Bandar (REDAC), USM Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria. Hadir sama ialah Pegawai Belia & Sukan Kanan, Pusat Sukan, Kampus Kejuruteraan,  Subli Yop. Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015