USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TNC HEPA DAN PENDAFTAR DIKURNIA DARJAH KEBESARAN PERLIS

istana 1

ARAU, PERLIS, 17 Mei 2015 - Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Adnan Hussein hari ini menerima anugerah Dato Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalulail (DSPJ) yang membawa gelaran Dato' daripada D.Y.M.M Tuanku Syed Sirajuddin ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail Raja Perlis sempena Hari Keputeraan baginda yang Ke-72 hari ini.

Baginda yang juga Canselor USM turut menganugerahkan Darjah Setia Mahkota Perlis (SMP) kepada Pendaftar Siti Zubaidah A. Hamid dalam majlis yang berlangsung di Balai Rong Seri Istana Arau.

"Saya bersyukur dan menjunjung setinggi-tinggi kasih atas kurnia D.Y.M.M Tuanku Raja Perlis yang merupakan penghormatan yang tidak pernah saya bayangkan," kata Adnan.

Istana 2

Tambahnya lagi, "saya juga berterima kasih kepada Naib Canselor dan rakan-rakan kepimpinan universiti yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama sehingga saya mencapai tahap ini."

Siti Zubaidah pula menyifatkan anugerah ini sebagai kenangan manis mencurahkan bakti kepada USM sejak 1 Ogos 1979 sebelum akan bersara wajib hujung tahun ini.

Siti Zubaidah dilantik sebagai Pendaftar pada 1 Januari 2013 dan pernah menjadi Pengarah, Malaysian Students Department di Amerika Syarikat pada Disember 2006 hingga Disember 2009.

"Saya menjunjung tinggi kurnia ini dan mendoakan semoga D.Y.M.M Tuanku Canselor dan D.Y.M.M Tuanku Raja Perempuan Perlis sentiasa dirahmati Allah," katanya lagi.

 DSC6979

Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman yang turut berada di Istana Arau menyaksikan upacara berkenaan turut menjunjung kasih atas kurniaan D.Y.M.M Tuanku Raja Perlis kepada kedua-dua pegawai tertinggi USM tersebut.

"Bagi pihak seluruh warga USM saya merafak tahniah dirgahayu D.Y.M.M Tuanku sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-72 serta mendoakan agar baginda dan D.Y.M.M Tuanku Raja Perempuan Perlis dipanjangkan usia dalam kesejahteraan dan rahmat Allah s.w.t," kata Omar.

Naib Canselor juga turut mengucapkan tahniah kepada Adnan dan Siti Zubaidah atas penganugerahan darjah kebesaran tersebut. - Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1802

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024