USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BERPESTA GOL TEWASKAN KKP

PULAU PINANG, 16 Mei 2015 – Gelaran 'Minden Tigers' amat sesuai buat skuad bolasepak Universiti Sains Malaysia (USM) apabila meratah Kolej Komuniti Perak (KKP) 5-0 pada perlawanan Liga IPT Divisyen 2 yang berlangsung di Stadium Olahraga USM hari ini.

Skuad kendalian Ahmad Norafandy ternyata tidak menghadapi tentangan sengit daripada lawan mereka yang kini menduduki tangga tercorot liga, dengan percubaan pertama perlawanan hadir pada minit ke-7 menerusi penyerang Hamza Mohamed namun sedikit tersasar dari gawang KKP.Berselang sepuluh minit selepas itu, pesta gol USM bermula melalui penyerang Muhammad Hafiz apabila mudah menolak masuk hantaran lintang setelah menerima umpanan daripada Ahmad Hambali.

Minit ke-25 Muhammad Faiez berpeluang menambah gol tetapi hampa apabila bola lambungannya melewati palang gol.

Percubaan pertama KKP terhidang pada minit ke-27 menerusi Isamudin yang melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti, tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol USM.

Asakan demi asakan bertali arus yang direncana USM akhirnya membuahkan hasil apabila Ahmad Hambali berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-40 selepas berjaya melepasi perangkap offsaid KKP.

Bermula separuh masa kedua, USM terus menggandakan serangan sehingga memaksa benteng pertahanan KKP melakukan kesilapan mudah pada minit ke-50 yang membawa kepada gol ketiga yang dijaringkan ayam tambatan USM, Hamza Mohamed.

Minit ke-72, USM dihadiahkan sepakan penalti yang tenang disempurnakan sekali lagi oleh Hamza, menjadikan kedudukan ketika itu 4-0.

Menyedari pentingnya perbezaan gol yang banyak, bagi mencabar pendahulu liga ketika ini, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), membuatkan skuad 'Minden Tigers' tidak berhenti menyerang dan hasilnya pada minit ke-80, Mohamad Hanif menjaringkan gol kelima setelah berjaya menggelecek empat pemain lawan sebelum memperdayakan penjaga gol KKP.

Pengurus USM Minden Tigers, Nazru Hj. Ismail berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, memuji komitmen dan disiplin tinggi yang dipamerkan setiap pemain.

"Pemain-pemain mengikut setiap arahan dan bermain dengan penuh semangat, tanpa memandang rendah keupayaan pihak lawan yang masih mencari rentak kemenangan pertama mereka."
 
"Diharapkan, momentum ini dapat dikekalkan sehingga ke penghujung musim, kerana sasaran kita untuk layak ke Divisyen 1 tahun hadapan tidak pernah padam."

Perlawanan seterusnya akan menemukan skuad 'Minden Tigers' dengan antara pencabar utama mereka, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Stadium Olahraga USM, pada 23 Mei 2015, jam 4.45 petang. - Teks: Mohamad Danial Shahri​/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 859

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024