USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KESEDARAN PENCEGAHAN KANSER SERVIKS DALAM KALANGAN WANITA

IMG 0907 1

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Mei 2015 – Kanser Serviks atau Kanser Pangkal Rahim merupakan salah satu penyumbang kadar kematian di negara ini dalam kalangan wanita dengan catatan rekod sebanyak 6 peratus daripada 1,500 orang yang disahkan mendapat penyakit ini pada setiap tahun.

Perkara ini dinyatakan oleh Pensyarah Perubatan, Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain ketika menyampaikan ceramah mengenai Kesedaran Pencegahan Kanser Serviks kepada rombongan PUSPANITA  Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara di sini hari ini.

Tambah Nik Hazlina, Kanser Servik atau Kanser Pangkal Rahim merupakan kanser organ reproduktif wanita yang paling utama dan kanser wanita yang kedua paling kerap berlaku selepas Kanser Payudara. Ianya merupakan kanser yang boleh dicegah melalui Ujian Saringan Pap Smear.

IMG 0908 1

“Di negara maju, kanser ini sangat jarang berlaku disebabkan tahap kesedaran dan langkah pencegahan yang diamalkan namun di negara kita kejadian dan kematian disebabkan oleh kanser ini masih tinggi,” ujar beliau.

Punca terjadinya prakanser dan Kanser Servik adalah disebabkan oleh jangkitan virus yang dinamakan Human Papilloma Virus (HPV).

“Kajian menunjukkan 99.7% daripada Kanser Servik mempunyai kaitan secara langsung dengan virus HPV ini. Terdapat lebih 100 jenis virus HPV dan ianya boleh dibahagikan kepada virus HPV berisiko rendah (bukan onkogenik) yang menyebabkan kutil atau wart dan virus HPV berisiko tinggi (onkogenik) yang berkait rapat dengan prakanser dan kanser,” katanya lagi.

Gejala Kanser Servik yang dialami oleh penghidap akan merasa sakit atau berlaku pendarahan semasa melakukan hubungan seks (post-coital bleeding) serta pendarahan dari faraj antara haid (inter-menstrual bleeding).

“Gejala lain yang akan dialami seperti pendarahan selepas putus haid (post-menopausal bleeding) serta berlaku lelehan faraj yang berair, mengandungi darah dan berbau (bloody discharge),” tambah Nik Hazlina.

IMG 0923 1

Katanya juga bagi mengurangkan risiko menghadapi kanser servik ialah dengan mencegah jangkitan kuman HPV. HPV merebak melalui hubungan seks maka penggunaan kondom boleh mengurangkan risiko HPV. Kurangkan pasangan seks serta dilarang merokok dan vaksinasi.

“Pencegahan Kanser Servik dengan melakukan ujian saringan dan Liquid Based Cytology bagi mengesan keabnormalan serviks yang boleh bertukar kepada kanser serviks jika tidak dirawat,” jelasnya.

Menurut Hazlina, kadar kesedaran wanita untuk mencegah Kanser Servik di Malaysia telah meningkat tetapi belum mencapai tahap yang memuaskan dan mereka yang mengalami Kanser Serviks adalah kerana tidak pernah menjalani saringan secara teratur. - Teks: Wan Salizawati Wan Ismail/Foto: Mohd Ridzuwan Ramly & Wan Ahmad Nizamuddin Wan Ahmad Sukri

  • Created on .
  • Hits: 2865

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024