USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKASA USAHA INTEGRASI KAUM

IMG 0419

KUALA LUMPUR, 11 Mei 2015 – Konsep asrama pelajar seperti desasiswa yang diamalkan di Universiti Sains Malaysia (USM) menggambarkan bagaimana nilai-nilai desa atau kampung yang saling mengambil berat dan hidup secara harmoni boleh diterapkan dengan meluas dan berkesan. USM akan terus memperkasa usaha-usaha yang telah lama berjalan dengan memperkukuhkan lagi melalui usaha penyelidikan untuk membangunkan sistem amaran jika perlu berbuat demikian.  

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman ketika menyampaikan ucapan sempena Seminar Pembinaan Bangsa: Warisan, Watan dan Wawasan Hubungan Etnik di Malaysia di Hotel Flamingo, Ampang, Kuala Lumpur berkata,  anak-anak muda yang tinggal bersama-sama, bergaul dan saling memahami pelbagai budaya yang ada termasuk yang merentasi sempadan geografi, dialek percakapan, bahasa mahu pun amalan-amalan hidup, agama dan pelbagai lagi perlu menjadi penghubung dan mekanisme utama dalam mencapai hasrat ini.

"USM sentiasa menyokong usaha ini dan berharap kerjasama sedia ada dengan  Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM dalam menganjurkan seminar ini dapat diteruskan pada masa hadapan apatah lagi dengan sesi Randau Meja Bulat yang melibatkan anak-anak muda untuk bersama-sama memberikan buah fikiran  demi kelestarian usaha murni ini," kata Omar.

Tambahnya lagi, usaha ini amat bermakna melalui pengalaman langsung melalui  pergaulan di dewan kuliah dan tutorial, makmal, aktiviti di luar bilik kuliah, kerja berpasukan, sukan dan rekreasi dan lain-lain lagi yang berteraskan nilai-nilai sejagat dan universal yang sepatutnya hidup subur di kampus-kampus universiti.  

"Pada masa yang sama kita dapat perkukuhkan lagi perpaduan dengan usaha penyelidikan dan pembudayaan ilmu lainnya dalam meneruskan usaha seperti ini dengan menggalakkan perbincangan akademik berdasarkan  data dan fakta dalam mendidik anak-anak muda  untuk berbincang secara sihat yang bukan hanya menggunakan emosi malah sebaliknya mendorong mereka  menghargai kepelbagaian yang ada termasuk budaya dan pemikiran," tegas Omar kepada  250 orang pembentang dan peserta program tersebut dari seluruh Malaysia. 

IMG 0411

Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Profesor Madya Dr. Nor Malina Malek berkata, program Seminar Pembinaan Bangsa ini adalah salah satu  usaha Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan dalam memperkasa cadangan-cadangan bernas  dari perspektif generasi muda.

"Program ini akan memberi suntikan baharu dalam mengumpul idea serta buah fikiran anak-anak muda untuk  mensejahterakan lagi masyarakat yang berbilang kaum di negara ini kerana mengurus masyarakat yang pelbagai etnik  memerlukan kebijaksanaan ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan  tepung tidak berselerakan, demi kesejahteraan masyarakat," kata Nor Malina.

Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan itu juga berharap agar pada masa hadapan, beberapa program khusus berkenaan hubungan etnik dapat dilaksanakan bagi menarik lebih ramai anak-anak muda dalam memberi hujah dan buah fikiran untuk meningkatkan  kesedaran dan kepentingan memperkukuh  perpaduan yang telah lama terjalin ini," ujarnya mengakhiri perbualan bersama TVUSM.

siva

Dalam pada itu, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Profesor Madya Dr. Sivamurugan A/L Pandian pula menyifatkan seminar ini mampu menggarap nilai dan makna sebenar perpaduan dalam kalangan anak-anak muda untuk  mengumpulkan sebanyak mungkin idea  penambahbaikan dalam konteks hubungan etnik dan perpaduan di negara ini.

"Sesi Randau Meja Bulat membuktikan bahawa idea-idea anak-anak muda ini amat bernas dengan  input baharu dalam memperkasa usaha ini dan saya ingin mencadangkan agar satu latihan dilaksanakan kepada golongan muda agar mereka mampu menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dan bagaimana mereka dapat menjadi ikon dalam masyarakat," kata penganalisis politik yang terkenal itu. 

Tambahnya lagi pelbagai siri seminar dengan tema yang berlainan akan diadakan dengan kerjasama Majlis Profesor Negara (MPN) kerana usaha pengintegrasian kaum bukanlah satu usaha bermusim sebaliknya perlu berterusan sepanjang masa apatah lagi universiti merupakan tunjang dalam merealisasikan  perpaduan etnik di negara ini.

Seminar tiga hari bermula 10 Mei 2015 ini dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Majlis Profesor Negara (MPN) dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM. - Teks: Siti Naquiah Abdillah/Suntingan: Mohamad Abdullah/Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin​

  • Created on .
  • Hits: 1451

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024