USM TUAN RUMAH MESYUARAT JKPUA; PENDAFTAR USM LANCAR TIGA BUKU PANDUAN TERBITAN JKPUA
USM PULAU PINANG, 20 Jun 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) selaku urusetia Jawatankuasa Pendaftar-Pendaftar Universiti Awam (JKPUA) hari ini telah mengadakan Mesyuarat JKPUA Bilangan 2/2023, yang mana USM menjadi tuan rumah bagi mesyuarat kali ini.
JKPUA merupakan saluran komunikasi dalam kalangan pendaftar-pendaftar UA untuk berkongsi pandangan, cadangan, syor dan saranan demi kebaikan bersama dalam memacu kecemerlangan UA.
Mesyuarat yang diadakan di Bilik Persidangan Canselori (CCR) itu dianggotai oleh 20 Pendaftar dari UA Malaysia, dengan tujuan untuk mengemukakan cadangan dan pandangan kepada pihak berkuasa Universiti mengenai tadbir urus dan sumber manusia UA, untuk berbincang dan mencari jalan secara kolektif terhadap sesuatu isu atau perkara yang dihadapi bersama demi pembangunan dan kemajuan UA.
Hadir bagi mempengerusikan mesyuarat adalah Pendaftar USM merangkap Pengerusi JKPUA, Dato’ Dr. Musa Ali.
Beliau turut menyempurnakan pelancaran tiga naskhah buku terbitan JKPUA iaitu:
1. Panduan Outfit/ Norma Perjawatan Universiti Awam
Buku ini diperkenalkan oleh Pendaftar Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia Universiti Awam (JKSMUA), Ahmad Rasidi Abdullah.
Buku Panduan Outfit/ Norma Perjawatan Universiti Awam telah dibangunkan sebagai rujukan asas dalam menentukan bilangan perjawatan yang diperlukan bagi sesuatu jabatan dalam aspek yang perlu diberi perhatian bagi penentuan penempatan staf di jabatan berkenaan.
Rujukan buku ini dapat membantu Bahagian Sumber Manusia dalam perancangan sumber manusia di setiap jabatan dengan lebih mudah dengan parameter perjawatan yang diperlukan bagi sesuatu jabatan.
2. Panduan Tadbir Urus (LPU)/ (LGU) (Edisi 2021)
Buku ini dihasilkan sebagai panduan dan rujukan pengurusan Lembaga Pengarah Universiti / Lembaga Gabenor Universiti Awam yang mana usahasama ini dilaksanakan bersama pegawai-pegawai yang menguruskan tadbir urus di UA.
Penyediaan panduan ini diperlukan sebagai rujukan dan pemudah cara dalam memastikan ketelusan, kecekapan dan pelaksanaan tadbir urus yang baik agar dapat dilaksanakan dengan teratur.
3. Panduan Tadbir Urus Senat
Buku ini merupakan rujukan pihak universiti khususnya Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Pendaftar, pegawai-pegawai akademik dan pegawai-pegawai tadbir yang menguruskan Senat Universiti.
Usaha yang dilaksanakan ini adalah sebagai pemudah cara dalam memastikan ketelusan, kecekapan dan pelaksanaan tadbir urus akademik yang berintegriti dan berkualiti.
Kedua-dua buku Panduan Tadbir Urus LPU/LGU dan Urus Senat ini diperkenalkan oleh Pendaftar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Haji Muhamad Nizam Noordin.
Kira-kira 15 orang pendaftar dan wakil pendaftar dari UA menghadiri mesyuarat kali ini secara bersemuka dan mesyuarat turut diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Webex.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1177