USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, HALAL PENANG JALIN KERJASAMA BANGUNKAN FARMAKOPOEIA HALAL PERTAMA DI DUNIA

CDH 7549 edited

USM PULAU PINANG, 10 Disember 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Penang International Halal Hub Development Sdn Bhd (Halal Penang) baru-baru ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang memberi tumpuan kepada usaha membangunkan farmakopoeia halal pertama di dunia.

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan merangkap Pengerusi Halal Penang, YB Dato’ Haji Abdul Halim Haji Hussain, berkata menerusi kerjasama itu juga, sebuah pusat sehenti (one-stop centre) berkaitan industri halal di Malaysia akan diwujudkan.

Menurutnya, pusat sehenti itu akan memainkan peranan menyediakan latihan dan pembangunan modul berkaitan halal untuk sekolah dan institusi pengajian tinggi, menyediakan perkhidmatan makmal untuk produk atau perkhidmatan halal serta menawarkan pengetahuan dan kepakaran teknikal halal kepada komuniti tempatan dan antarabangsa.

"Fokus kita di sini adalah untuk membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana kerana mereka perlukan rujukan untuk menembusi pasaran halal; memandangkan penyelidikan memerlukan banyak modal dan mereka tiada kapasiti untuk berbuat demikian, jadi kita adakan pusat penyelidikan untuk para usahawan mendapatkan manfaat,” katanya.

Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan menyambut baik kerjasama ini dan menyifatkan MoU ini bukan merupakan awalan kepada kerjasama antara dua organisasi USM dan Halal Penang, tetapi lebih sebagai penggalak dan pendorong untuk meningkatkan kerjasama yang telah sedia berlangsung.

“Saya amat berharap agar melalui MoU ini, kedua-dua institusi akan dapat saling bantu membantu dalam menjayakan aktiviti-aktiviti yang telah dikenal pasti oleh semua pihak demi kebaikan bersama. Saya yakin, dengan usaha murni ini dapat merancakkan lagi pembangunan sektor halal di Malaysia,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

MoU ditandatangani Faisal Rafiq mewakili USM dan Abdul Halim mewakili Halal Penang.

Sementara itu, Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman berkata, MoU ini memberikan penumpuan kepada bidang penyelidikan farmakopoeia halal, mewujudkan one-stop centre untuk peringkat global dalam pelbagai aspek berkaitan dengan halal dan juga menawarkan rangkaian perkhidmatan ujian makmal produk halal.

“Usaha ini adalah untuk membantu masyarakat dan industri dalam menyenaraikan semua bahan kimia dan bukan kimia yang diguna pakai di seluruh dunia bagi pelbagai aspek dalam bidang farmaseutikal. Dengan ini, orang ramai tidak perlu lagi merujuk bahan rujukan sebelum membeli sesuatu produk,” katanya.

Pada majlis yang sama, turut dilancarkan Kluster Penyelidikan Halal Studies in Services, Research and Training (HaSRaT), iaitu kumpulan penyelidikan yang telah ditubuhkan pada tahun 2017 atas inisiatif Pejabat Nexus (Sains) USM.

Memandangkan potensi kumpulan ini untuk memacu pembangunan industri halal dan penyelidikan ke peringkat lebih tinggi, ia dijadikan satu Kluster Penyelidikan Maya pada tahun 2018.

Matlamat utama HaSRaT ialah untuk menjadi satu pusat kecemerlangan bagi penyelidikan dan perkhidmatan halal yang terkenal bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di peringkat seantero dunia.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengurus Besar Halal Penang, Mohamad Firhan Ghouse; Ketua Kluster Perubatan Integratif IPPT, Dr. Eshaifol Azam Omar; Ahli-ahli Kluster HaSRaT, dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Halal Penang.

Teks: Mohd Faisal Jamaludin

  • Created on .
  • Hits: 918

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024