BULLETIN OF THE MALAYSIAN MATHEMATICAL SCIENCES SOCIETY KEKALKAN KUALITI TERBILANG

trsm1

PULAU PINANG, 14 Nov. 2019 – Bulletin of the Malaysian Mathematical Sciences Society (BMMSS) membuktikan keunggulan dan kredibilitinya sebagai jurnal terbilang di negara ini apabila kali kelima berturut-turut dianugerahkan pengiktirafan Jurnal CREME (Taraf Penyelidikan Terkini Malaysia) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi kategori jurnal Web of Science.

Ketua Editor BMMSS, Profesor Dato’ Indera Dr. Rosihan M. Ali berkata, jurnal yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaysia (USM) itu muncul jurnal tunggal di negara ini yang masih mengekalkan kecemerlangannya diindeks ke Web of Science (WoS) bermula tahun 2007.

Katanya, BMMSS berada pada taraf Q2 dan ia adalah satu kejayaan yang harus dibanggakan kerana bukan mudah untuk tersenarai sebagai antara jurnal berkualiti tinggi, namun untuk kekal cemerlang dan berada pada tahap tertinggi adalah jauh lebih sukar.

“Di Malaysia misalnya, kita mempunyai tiga belas jurnal yang telah diindeks ke WoS namun hanya BMMSS yang masih kekal berada pada tahap Q2, manakala yang lain dilihat agak sukar untuk mengekalkan kedudukan. Ia memperlihatkan walaupun ada jurnal yang telah bertapak lebih lama namun ia belum tentu menjaminkan kejayaan.

“Prestasi cemerlang BMMSS ini adalah disebabkan beberapa faktor dan strategi yang telah kita laksanakan sejak dari awal lagi,” katanya sambil mengakui aspek kepimpinan jurnal adalah antara yang memainkan peranan penting, selain disokong oleh usaha berpasukan termasuk editor-editor yang berdedikasi dan komited dalam menghasilkan makalah-makalah berkualiti tinggi.

“Kita selalu mengambil iktibar dan melihat di mana kedudukan jurnal BMMSS. Kita perlu memastikan di mana kekuatan, kelemahan dan bagaimana mengatasinya untuk kekal berada di hadapan bagi menghadapi persaingan dengan lebih 300 lagi jurnal matematik lain di dalam pangkalan data WoS, selain ratusan jurnal lain yang turut berlumba-lumba mahu masuk ke pangkalan data tersebut,” ujarnya.

trsm2

 

Mengulas lanjut mengenai BMMSS, beliau berkata, jurnal itu menerima lebih dari 1,300 makalah setiap tahun dan menjadi tanggungjawab besar bagi pasukannya untuk menggalas cabaran khususnya dalam mencari wasit dan editor-editor sesuai yang sentiasa meletakkan penanda aras yang tinggi bagi mengekalkan kecemerlangan.

“Subjek matematik mengandung lebih kurang 64 sub bidang. Kepakaran di USM adalah terhad dan kita tidak mampu untuk mendapatkan kepakaran bagi setiap sub-bidang berkenaan. Justeru kita mempunyai strategi tersendiri termasuk mendapatkan editor di peringkat antarabangsa yang dapat memberi sumbangan sewajarnya,” jelas beliau.

Rosihan juga berkata, BMMSS telah jauh berkembang, jika dahulu matlamatnya hanya berfokus kepada menjadi jurnal pilihan di benua Asia namun kini ia telah melangkaui sempadan berkenaan, selain dibarisi oleh 30 editor dari seluruh dunia termasuk dari negara-negara Amerika Utara, Eropah, Asia Barat, Asia Timur, Asia Selatan, dan Australia.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan hasrat untuk pihak Universiti terus membantu dalam menyumbangkan dana bagi membolehkan pihaknya terus mengakses pangkalan data yang disifatkan sangat bermanfaat dan banyak membantu dalam melonjakkan prestasi BMMSS.

 “Buat masa ini pihak kami menggunakan pangkalan data disiplin MathSciNet ®yang telah wujud lebih awal daripada WoS mahupun Scopus. Kos langganan hanya berjumlah RM60,000 setahun berbanding WoS atau Scopus yang mencecah kos langganan sehingga RM1.2 juta setahun,” jelasnya lanjut.

 

Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md .Isa

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015