ICT4U HIMPUN PAKAR ICT UNIVERSITI AWAM SELURUH MALAYSIA

EAM 1514

SEBERANG JAYA, 5 November 2019 – Pakar-pakar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dari seluruh universiti awam hari ini berkumpul di sini bagi berkongsi kepakaran dalam kemajuan ICT sempena Conference on ICT For University 2019 (ICT4U) selama dua hari.

Persidangan anjuran Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT), Universiti Sains Malaysia (USM) ini menarik penyertaan 150 orang peserta dalam kalangan Ketua-Ketua Pegawai Maklumat Universiti Awam Malaysia, Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai bahagian teknologi maklumat Institut Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta bagi berkongsi pengalaman dan hasil solusi "amalan terbaik" yang dipraktikkan dalam pentadbiran ICT di peringkat universiti di Malaysia.

DSC 9477

Pengarah Bahagian Kerajaan Digital,  Sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Unit Permodenan dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Dr. Yusminar Yunus berkata, persidangan ini amat signifikan buat pentadbiran ICT masa kini terutamanya dalam aspek penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan melalui ICT atau Universiti Elektronik.

"Persidangan ICT4U buat julung kali diadakan ini dapat membantu pentadbir dan pakar-pakar ICT meningkatkan keupayaan sistem penyampaian di samping proses-proses kerja dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan pantas.

Saya percaya penggunaan ICT khususnya dalam penyediaan perkhidmatan secara online dilihat sebagai kaedah terbaik yang mampu meningkatkan kecekapan dan prestasi penyampaian perkhidmatan awam," katanya ketika mewakili Ketua Pengarah Sektor ICT, MAMPU merasmikan persidangan tersebut.

Tambah Yusminar, pembangunan aplikasi ICT yang mantap bukan hanya akan dapat mempercepatkan proses kerja, mengurangkan masa dan kos tetapi juga dapat meningkatkan ketelusan dan integriti.

EAM 1508

"Kita seharusnya peka terhadap kemajuan teknologi ICT, lebih-lebih lagi jika sesuatu teknologi terbaru itu mampu menyumbang ke arah peningkatan tahap kecekapan jabatan, penggunaan sumber, fasiliti, serta dapat mengurangkan kos operasi dan menjamin keselamatan maklumat yang disimpan,” katanya.

Justeru, beliau berharap menjadi tanggungjawab semua pemain ICT dari seluruh peringkat untuk merancang keperluan ICT jabatan masing-masing selaras dengan perkembangan terkini.

"Perancangan rapi dan teliti perlu dibuat supaya keperluan dan penggunaan ICT dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan agensi-agensi kerajaan, memberikan perkhidmatan kepada pelanggan, selain daripada mengelakkan sebarang pembaziran yang tidak bermanfaat untuk universiti keseluruhannya.

Yang turut hadir adalah Pengarah Pusat Transformasi Insan USM, mewakili Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan; Pengerusi MAPITA merangkap Ketua Pegawai Maklumat Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Mohd Isa Mohd Dom; Ketua Pegawai Maklumat USM, Zulham Hamdan dan CEO Digital Durian Enterprise, Sinan Ismail.

Pada majlis yang sama, Ahmad Yusoff berkata, PTJ yang bertanggungjawab terhadap ICT di universiti wajib mengamal serta menerapkan konsep seperti Enterprise Architecture, Big Data, IOT, Rangkaian, Keselamatan ICT, Laman Sesawang, Aplikasi, Pangkalan Data, Telekomunikasi serta Campus Solution.

DSC 9469

Dalam ucapannya mewakili Naib Canselor, beliau turut mengharapkan ICT4U ini mampu melonjak dasar yang mantap serta idea dan strategi penambahbaikan yang berkesan, supaya sistem penyampaian universiti yang lebih optimum dan dapat memberi kepuasan kepada warga universiti iaitu pelajar dan staf akan dapat dicapai.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Ebrahim Abdul Manan

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015