USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM METERAI EMPAT LAGI MEMORANDUM SERENTAK

ppik4

USM, PULAU PINANG, 19 April 2019 – Empat memorandum dimeterai serentak baru-baru ini antara Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) selari dengan matlamat untuk melonjakkan nama pusat pengajian itu di persada antarabangsa.

Memorandum-memorandum yang ditandatangani itu melibatkan tiga memorandum perjanjian (MoA) iaitu dengan Perbadanan Kota Buku, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang; dan satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Universitas Harapan Medan, Indonesia.

ppik3

Menandatangani bagi pihak USM, Naib Canselor Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, kerjasama ini akan memanfaatkan pihak universiti dan rakan-rakan kolaborasi strategik yang terbabit dalam bidang penyelidikan, penerbitan bersama buku-buku ilmiah dan terjemahan, penganjuran bersama seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penempatan pelajar-pelajar pusat pengajian bagi latihan industri.

“Perjanjian ini bertepatan dengan usaha untuk mengantarabangsakan pusat pengajian pada peringkat dunia, selari dengan matlamat USM bagi tahun 2019 ini iaitu Membawa USM ke Persada Dunia dan Dunia ke USM, sekaligus menaikkan mutu pendidikan di Malaysia,” katanya.

Pemeteraian memorandum-memorandum itu dilangsungkan sempena majlis perasmian Festival Mega PPIK 2019 yang julung kalinya diadakan, yang mana perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor.

ppik2

Pada majlis yang sama, Naib Canselor turut melancarkan 45 buah buku terbitan terkini oleh penyelidik-penyelidik dari PPIK dalam pelbagai bidang tamadun, sastera, budaya dan kemanusiaan sempena festival tersebut yang berlangsung dari 15 April sehingga 20 April 2019.

Kata Asma, PPIK yang merupakan antara pusat pengajian yang terawal ditubuhkan (1970) telah menghasilkan ramai tokoh dalam bidang sastera dan kemanusiaan yang mencipta nama dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Malah banyak anugerah yang telah diperolehi oleh USM melalui pensyarah dan pelajar di pusat pengajian ini antaranya yang terkini, Anugerah Buku Umum Terbaik (kategori muzik dan prasejarah) dan johan dalam Pertandingan Akhir Pidato Antarabanga Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2018 bagi kategori Pelajar Antarabangsa,” tambahnya lagi.

ppik1 edited

Naib Canselor turut menekankan betapa penting dan perlunya bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan untuk melengkapi bidang sains dan teknologi supaya kelestarian ilmu dapat dibawa dan dipelihara oleh universiti dalam erti kata sebenar.

“Dan saya yakin PPIK akan terus melestarikan erti kemanusiaan dalam kehidupan manusia sejagat, lebih-lebih lagi pada era Industri 4.0 ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Dekan PPIK, Profesor Dr. Narimah Samat berkata, sehingga kini pusat pengajian berkenaan telah menjalinkan kerjasama melibatkan 26 MoA dan MoU iaitu lapan dari Malaysia, lapan dari China, lima dari Indonesia, dua dari Thailand, dan masing-masing satu dari Iran, Uganda dan Sri Lanka.

Yang turut hadir, Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti PPIK merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Festival Mega 2019 PPIK, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong; wakil-wakil institusi luar yang menandatangani MoA dan MoU, dan ketua-ketua jabatan USM.

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1209

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024