PENDIDIKAN SEBAGAI ASAS PERPADUAN NEGARA

maszlee2 edited edited

PULAU PINANG, 19 Mei 2019 – Kenyataan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik yang mempertahankan Program Matrikulasi untuk Bumiputera semasa menghadiri pertemuan dengan pelajar dan staf USM ketika menjawab satu soalan baru-baru ini wajar dipuji.

Kata beliau, Program Matrikulasi masih perlu selagi berlaku ketidakseimbangan terutamanya dari sudut peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Pendidikan dan peluang pekerjaan sememangnya saling bersangkutan. Ini adalah hakikat sebenar yang berlaku dalam masyarakat. Rata-rata, tekanan berlaku dalam pelbagai sektor yang selama ini tidak berani didedahkan oleh kita. Ia dianggap tabu dan walaupun ada kajian yang dibuat, ianya jarang didedahkan demi menjaga keharmonian kaum.

Pendidikan menjadi mekanisme penting dalam meningkatkan kebolehpasaran bakat masa hadapan yang perlu juga seimbang dan merapatkan jurang ketidaksamarataan yang ada. Hal ini perlu disokong oleh keseluruhan sistem yang ada termasuk syarat pekerjaan dan peluang untuk peningkatan dalam kerjaya sesuai dengan peningkatan bakat seperti yang disebut oleh Menteri Pendidikan.

Kenapa kita tidak pernah pun berani menyentuh keseluruhan sistem pendidikan yang ada secara telus dan holistik? Yang lebih penting sekarang ialah reformasi terhadap keseluruhan sistem pendidikan yang sedang diusahakan oleh Kementerian Pendidikan.

Walau bagaimanapun, sebelum reformasi pendidikan boleh dilaksanakan, kita perlu terlebih dahulu melihat sama ada reformasi minda telah berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Adakah ahli politik, ahli akademik dan mereka yang terlibat sebagai pembuat dasar mempunyai kesanggupan dan kesungguhan untuk duduk semeja dan berunding bagi menyelesaikan perkara ini?

Hal ini hanya boleh dilakukan apabila wujudnya sikap berani menerima kenyataan tentang masalah dan cabaran yang ada. Malaysia Baharu mesti menekankan kepada perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) sebagai titik utama untuk dihormati dan digunakan sebagai kekuatan masyarakat negara ini dalam menikmati kek ekonomi negara.

maszlee9

Sehubungan itu, kenyataan Menteri Pendidikan harus dilihat dalam konteks yang positif dan ikhlas tanpa mengapi-apikannya dengan sentimen perkauman. Keperluan untuk memberi akses pendidikan kepada golongan bumiputera yang majoritinya berpendapatan rendah adalah amat penting bagi memastikan berlakunya agihan ekonomi yang lebih saksama dan seimbang.

Ini amat penting bagi kelangsungan kestabilan sesebuah negara. Masyarakat negara ini tidak perlu diingatkan tentang kepentingan mengambil iktibar dan pengajaran dari semua sejarah hitam negara sebelum ini.

Menangani isu kemiskinan dan mengurangkan jurang ketidaksamaan bukan sahaja agenda negara. Ia merupakan agenda penting di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan menjadi tonggak Sustainable Development Goals (SDGs). Dua daripada 17 agenda utama di bawah SDGs adalah SDG1 (Poverty) dan SDG10 (Reduced Inequalities). Malaysia sememangnya harus menyantuni matlamat universal UNDP iaitu untuk membasmi kemiskinan dan memastikan semua golongan masyarakat menikmati kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran.

Adalah amat penting sistem pendidikan kita berupaya menjadi alat perpaduan utama yang memperkasakan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya, hidup secara harmoni dan menjadikan kepelbagaian sebagai kelebihan untuk diraikan dan dilestarikan demi kelangsungan negara pada masa hadapan.

Matlamat dan prinsip Rukun Negara juga perlu dilihat seiring dengan hasrat ini yang perlu dijunjung oleh seluruh rakyat sebagai sebahagian teras Malaysia Baharu yang kita inginkan; hormat menghormati, menghormati Perlembagaan Negara, ketaatsetiaan serta aspek kesopanan dan kesusilaan.

vc67 edited

Pendidikan sememangnya menjadi radas yang penting bagi penyatuan bangsa dan kaum di sesebuah negara multi-etnik seperti Malaysia. Bermula dari umur 6-7 tahun, penerapan kebangsaan berteraskan penyatuan bangsa telah diperkenalkan, sesuai dengan peribahasa ‘melentur buluh, biar dari rebungnya’.

Pengukuhan pemahaman sedemikian adalah berterusan dan diterapkan lagi di peringkat lebih tinggi; UNESCO misalnya dalam laporan tentang pendidikan abad ke-21 yang bertemakan Learning the Treasure Within, menekankan kepada empat tonggak utama iaitu ‘learning to know, learning to do, learning to live together dan learning to be’, dengan jelas menggambarkan kepentingan kebersamaan dalam pembangunan pendidikan individu yang merupakan sebahagian dari reformasi pendidikan baharu yang mendidik seseorang itu dengan keperluan membangun masa hadapan yang lebih bermakna.

Jelas, proses pendidikan bukan sahaja bertujuan meningkatkan kapasiti intelek dengan ilmu dan kemahiran tetapi juga membekalkan seseorang itu dengan kapasiti sosial individu untuk menghayati dan bersedia untuk menerima kebersamaan dalam masyarakat, untuk hidup bersama, saling menghormati, berkasih sayang dan menghargai kepelbagaian yang ada agar dapat memberikan natijah kebahagiaan dan keharmonian selaras dengan konsep Shared Prosperity 2030 yang diutarakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita.

Sebagai sebuah insititusi keilmuan, Universiti Sains Malaysia (USM) akan terus menanamkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar dan staf. Melalui agenda “Unity in Diversity”, USM merancang pelbagai program yang bertujuan memupuk “inter-cultural competencies” bukan saja dalam kalangan pelbagai kaum di Malaysia tetapi juga melibatkan pelajar antarabangsa supaya berjaya menghasilkan graduan “global citizens” yang bukan sahaja bersikap toleran terhadap perbezaan budaya masyarakat lain tetapi memahami dan menghormati kepelbagaian tersebut. Ini dilihat sebagai satu langkah transformasi minda yang penting dan perlu dilaksanakan segera.

Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, FASc.

Naib Canselor, USM

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015