USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, NCX JALIN KERJASAMA BANGUNKAN PERKHIDMATAN RAWATAN KANSER

ippt1

IPPT BERTAM, 14 Mei 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Northern Corridor Xpressway Sdn Bhd (NCX) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam perkhidmatan perawatan kanser dan penyakit-penyakit lain.

MoU tersebut ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed mewakili Naib Canselor USM manakala NCX diwakili oleh Pengerusi Eksekutifnya, Dato’ Sri Haji Mohd Rozian Md Yunus di Kompleks Klinkal IPPT.

Menurut Abdul Rahman, USM sentiasa komited dan membuka pintu kerjasama kepada semua pihak yang ingin berkolaborasi dalam apa jua bidang yang boleh memberi impak yang baik kepada masyarakat dan negara.

ippt2

“Adalah menjadi tanggungjawab USM selaku institusi pendidikan tinggi di negara ini untuk membantu mana-mana pihak yang ingin bekerjasama apatah lagi apabila ianya memerlukan kepakaran tertentu yang boleh kita kongsikan dan terjemahkan dalam bentuk pelan tindakan dan pelaksanaan,” katanya.

“IPPT USM sedia membantu dalam aspek rawatan kanser kerana IPPT kini merupakan satu-satunya pusat rujukan kanser wilayah utara yang dilengkapi dengan kepakaran dan fasiliti canggih seperti kemoterapi, radioterapi, brakiterapi dan perubatan nuklear,” tambahnya lagi ketika berucap dalam majis ringkas tersebut.

ippt3 edited

Pemeteraian MoU itu disaksikan oleh Dato’ Haji Abdul Halim Haji Hussain, Exco Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Negeri Pulau Pinang.

Menerusi memorandum ini, kedua-dua pihak berhasrat untuk menubuhkan sebuah pusat perubatan berasaskan rawatan kanser dan membangunkan produk halal untuk rawatan pesakit. Ini meliputi kepakaran rawatan, pembangunan produk dan kajian serta pusat pembelajaran di peringkat tertinggi.

NCX diberi kepercayaan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membangunkan hospital rawatan kanser dan hub perubatan di daerah Seberang Perai Selatan, dan USM bersedia untuk membantu merealisasikannya.

Turut hadir dalam majlis ini Pengarah IPPT, Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman; Pengerusi NCX, Lt. Jeneral (B) Datuk Hanif Darimi (TUDM) serta pegawai-pegawai utama dari kedua-dua institusi.

Teks: Mohd Faisal Jamaludin/Foto: Norizan Ishak

  • Created on .
  • Hits: 2842

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024