USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

107 GRADUAN SULUNG SIJIL ORGANISASI LESTARI USM-KEMAS DIRAI

IMG 0373

PULAU PINANG, 19 Februari 2019 – Seramai 107 graduan sulung Kursus Pensijilan Organisasi Lestari yang ditawarkan oleh Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) Universiti Sains Malaysia (USM) diraikan dalam Majlis Konvokesyen buat julung kalinya pada hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah yang hadir merasmikan Majlis Konvokesyen ini berbangga dengan pencapaian kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang berjaya menjalani kursus tersebut.

“Syabas dan tahniah juga kepada CGSS USM kerana terus memainkan peranan dalam memantapkan dan melahirkan kakitangan KEMAS yang berpengetahuan dan berkemahiran.

IMG 0334

“Saya amat berharap CGSS khasnya dan USM secara amnya, akan terus melaksanakan program latihan seperti ini bagi melahirkan lebih ramai kakitangan KEMAS yang kompeten dalam pelbagai bidang serta memenuhi permintaaan dan bergerak seiring dengan United Nations (UN) yang telah melancarkan Matlamat Pembangunan Lestari 2030 pada September 2015 bagi memastikan dunia terpelihara terutama untuk generasi akan datang,” tambah Sivarasa.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, USM membuka pintu atau peluang kepada semua graduan pada hari ini untuk terus menyambung pengajian di USM dalam pelbagai bidang yang bersesuaian dengan halatuju Universiti dalam melakukan perubahan atau ‘make a difference’.

IMG 0390

“USM bukan sahaja menjalankan pengajian yang berteknologi tinggi namun turut memindahkan teknologi tersebut kepada masyarakat dan membangunkan mereka.

“Pemindahan ilmu dapat dilakukan dengan pelbagai cara dan ilmu tersebut haruslah dapat disampaikan kepada masyarakat supaya dapat menyambung kelestarian ilmu tersebut,” tambah Naib Canselor.

“Saya percaya bahawa ada dalam kalangan para graduan yang tidak berkesempatan untuk menimba ilmu sebelum ini disebabkan oleh kekangan dan masalah yang tidak dapat dielakkan.

Namun, dengan peluang yang ditawarkan ini telah memberikan kesempatan kepada para graduan untuk menggenggam segulung sijil di institusi pengajian tinggi,” tambahnya lagi.

IMG 0385gfr

Para peserta sijil ini didedahkan dengan lima subjek utama iaitu Teknologi Maklumat dalam Organisasi, Kewangan Lestari, Komunikasi Lestari, Pengenalan Kepada Kerja Sosial dan Perlakuan Dalam Organisasi dan mengikuti pengajian dalam tempoh masa empat bulan.

Kursus ini bertujuan melengkapkan para peserta dengan teori menguruskan organisasi dan kewangan dengan cekap dan berkesan, pembangunan nilai dan bakat seterusnya membolehkan berlakunya pemindahan ilmu kepada masyarakat awam dengan menggalakkan praktis yang lebih menyeluruh dan responsif terhadap perubahan sosial dalam kalangan masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kakitangan KEMAS dan seramai 100 orang lagi telah berdaftar untuk mengikuti kursus ini untuk kumpulan yang kedua dan bakal memulakan pengajian dalam masa terdekat ini.

IMG 0564

IMG 0591hjyu

Turut hadir meraikan graduan sulung ini ialah Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Profesor Dr. Ramasamy Palanisamy; Timbalan Ketua Pengarah Operasi, mewakili Ketua Pengarah KEMAS Malaysia, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi; Pengarah CGSS, Dr. Suzyrman Sibly dan Presiden Kesatuan Kakitangan KEMAS Malaysia (KESATERIA), Abdullah Mohamed Shariff serta ahli keluarga graduan.

Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1863

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024