USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ADRIAN TEH SUMBER INSPIRASI BIDANG PERFILEMAN NEGARA

adrian

PULAU PINANG, 19 Disember 2018 – Jika disebut tentang filem Paskal, ramai penonton yang memberikan maklum balas positif mengenai pembikinan filem tersebut yang dikatakan setaraf filem Hollywood. 

Namun, ianya tidak diketahui umum bahawa Pengarah filem tersebut adalah seorang alumni Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Adrian Teh Kean Kok yang menamatkan pengajian pada tahun 2008 dalam bidang Filem dan Penyiaran.

Anak kelahiran Pulau Pinang yang berusia 34 tahun ini telah mengarah dan menerbitkan 10 buah filem, namun Paskal adalah filem berbahasa Melayu yang pertama diarahkannya berbanding filem lain sebelum ini di dalam Bahasa Mandarin. 

Filem lain yang mendapat sentuhan Pengarah muda ini ialah Lelio Popo (2012), The Wedding Diary (2012), King of Mahjong (2015) dan The Noise (2015). 

Menurut Adrian Teh, pengalaman mengarahkan filem ini adalah sesuatu yang luar biasa dan ianya tidak mudah untuk melakukannya. 

“Saya lalui semua cabaran dan latihan sebagai PASKAL sebelum saya mula mengarah filem tersebut supaya faham dan lebih mendalaminya,” kata Adrian Teh yang berhasrat memohon sebagai pegawai simpanan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). 

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Immersion Project, Appreciation and Tribute (IMPACT) 2018 yang dihadiri oleh lebih 300 orang peserta terdiri daripada pelajar bidang komunikasi dari Universiti Awam dan Swasta di Malaysia serta Thailand, Indonesia dan Brunei Darussalam. 

sarawak

Program IMPACT bermula pada tahun 2008 adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar Komunikasi dari tiga jurusan, iaitu kewartawanan, komunikasi pemujukan, dan filem dan penyiaran untuk mempamerkan idea dan produk mereka kepada pihak industri.

Pelbagai aktiviti telah diadakan bersempena program ini termasuk pameran, video pendek, akhbar, majalah, iklan video, kempen komunikasi, fotografi, pertandingan pengucapan awam dan penulisan awam.

Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan turut hadir Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni yang juga pensyarah PPK, Profesor Dato’ Dr, Adnan Hussein dan isteri serta Dekan PPK, Dr. Shuhaida Md Noor.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain / Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 1718

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024