LIBATSAMA INDUSTRI PENTING DALAM PENYELIDIKAN UNIVERSITI

DSC 2026

PULAU PINANG, 10 Disember 2018 – Ahli akademik yang mengendalikan penyelidikan dan pembangunan di universiti seharusnya bijak mencari alternatif melibatsamakan industri agar tahap kualiti penyelidikan berada pada kedudukan terbaik dan bermanfaat untuk masyarakat.

Para penyelidik universiti juga diharap tidak lagi berada di zon selesa yang mengharapkan geran-geran melalui agensi kerajaan mahupun kementerian, tetapi berani mencabar diri untuk mendapatkan sumber-sumber dari industri agar kualiti hasil/produk penyelidikan mampu berada pada tahap kebolehpasaran untuk semua peringkat masyarakat.

DSC 2016

Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, penyelidik perlu sedar bahawa situasi sekarang berbeza dengan dahulu, yakni penyelidik dan industri saling memerlukan bagi mencipta dan memajukan penyelidikan sedia ada untuk manfaat bersama.

“Saya menyeru agar semua penyelidik yang terdiri daripada ahli-ahli akademik universiti berani mencabar diri, keluar dari zon selesa dan menjalin kerjasama dengan industri tempatan mahupun luar negara agar ia mampu diterjemahkan kepada hasil yang berkesan untuk kepentingan masyarakat umumnya,” katanya ketika mewakili Naib Canselor USM merasmikan 34th Symposium of the Malaysian Society for Microbiology (MSM) 2018 baru-baru ini di sebuah hotel terkemuka di sini.

Tambah Ahmad Farhan, melalui usaha dan kerjasama dengan pihak industri sudah pastinya penyelidik mampu mencapai matlamat yang lebih besar seterusnya membantu universiti memimpin dalam isu-su kelestarian global.

“Apa yang penting ialah universiti perlu menumpukan usaha dan peranannya ke arah pembangunan isu kelestarian dan kemanusiaan serta memastikan jurang antara satu peratus golongan teratas dengan golongan terkebawah dapat dikurangkan melalui pembangunan pengetahuan, pendidikan, penyelidikan saintifik dan pembangunan teknologi,” katanya lagi.

DSC 2014

Yang turut hadir adalah Presiden Malaysia Society for Microbiology, Profesor Dr. Rosfarizan Mohamad; Pengerusi MSM 2018, Profesor Madya Dr. Rashidah Abd Rahim dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Profesor Dr. Amirul Al Ashraf Abdullah.

DSC 2052

Simposium yang diadakan selama tiga hari ini mengumpulkan sejumlah 110 orang peserta dari universiti tempatan dan luar negara serta institusi penyelidikan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Koko Malaysia dan sebagainya.

DSC 2044

Antara topik yang diberi tumpuan termasuk mikrobiologi, penyakit berjangkit, teknologi penyatuan semula DNA, pendekatan alternatif pengeluaran tenaga dan kitar semula, sumber baru makanan dan dadah, dan lain-lain lagi.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015