USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA HAK IMEJ DIGITAL SURAT FRANCIS LIGHT

PULAU PINANG, 25 Oktober 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRiS) serta Perpustakaan Hamzah Sendut (PHS), telah diberi hak maklumat imej digital Koleksi Digital Surat-surat Sir Francis Light (1771-1794) oleh School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail, koleksi ini adalah manuskrip Melayu terbesar di dunia yang mengandungi 1,200 pucuk surat yang tersimpan dalam 11 jilid termasuk surat-surat karangan atau penulisan dan nota-nota daripada Kesultanan Melayu lama dan lain-lain.

“Imej-imej digital surat-surat Light ini adalah yang pertama seumpamanya yang dibekalkan kepada institusi di luar dari SOAS lmelalui perjanjian persefahaman yang telah dimeterai pada bulan September 2018 lalu,” tambah Asma di Pra-Pelancaran Koleksi Digital Surat-surat Sir Francis Light (1771-1794) sempena Majlis Anugerah Sanggar Sanjung.

“Bagi mendapatkan hak tersebut, ianya bukanlah sesuatu yang mudah, dan selepas lapan tahun berusaha, USM satu-satunya institusi yang berjaya mendapatkan hak tersebut.

“USM berbangga menerima penghormatan ini dan menjadi satu-satunya Universiti di dunia yang memperoleh akses kepada dokumen bersejarah ini yang disimpan di SOAS.

“Kandungan dokumen ini kelak bukan sahaja akan disimpan di dalam pelbagai bentuk oleh PHS untuk rujukan penyelidik dan pengkaji sejarah, malah ia juga akan menerima suntikan teknologi Kecerdasan Buatan atau ‘Artificial Intelligence’.

“Ini termasuk kebolehan untuk Data Mining, Sentiment Analysis, Deep learning, machine learning dan pelbagai lagi bagi membolehkan kita untuk memahami pemikiran, hubungan diplomasi, perbincangan pedagang Inggeris dengan pihak-pihak berkuasa di Pulau Pinang dan hubungan kuasa yang wujud pada ketika itu,” tambah Naib Canselor.

“Buat masa ini, USM adalah satu-satunya Universiti yang diberi pengiktirafan untuk menjalankan analisis sebegitu rupa ke atas bahan peninggalan sejarah yang cukup penting, khususnya kepada Pulau Pinang.

Ini juga akan membolehkan kita melakukan interpretasi yang lebih tepat dan mendalam selain potensi untuk kita memeriksa ketepatan sejarah dalam tempoh tersebut. USM akan  menjadi beacon yang mampu menjadi daya penarik kedatangan pengkaji sejarah dunia dan penyelidik daripada pelbagai disiplin serta juga pelbagai kementerian dan industri.

“Saya percaya, projek ini yang kita namakan sebagai ‘The Beacon of Light@USM akan turut memposisikan USM sewajarnya dalam konteks penyelidikan sejarah dan juga penyelidikan dalam pelbagai disiplin dengan adanya pangkalan data artificial intelligence tersebut.

“Pada malam ini, usaha ini akan dipertontonkan dan USM amat teruja dengan projek yang berimpak tinggi ini,” ucapnya.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1058

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024