USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGGUNAAN TEKNOLOGI ATAS TALIAN BANTU PASARKAN PRODUK OKU

USM KUBANG KERIAN, 21 Sept. 2018 – Di era serba moden dan penggunaan teknologi yang meluas dalam kalangan masyarakat tidak kira lapisan, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil langkah mengetengahkan penggunaan teknologi atas talian bagi memasarkan produk-produk yang dihasilkan oleh para pelatih di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Memandang dari sudut itu, Unit Transformasi Orang Kurang Upaya (OKU), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengadakan Bengkel Penggunaan Teknologi Atas Talian bagi pemasaran produk dalam memperkasakan ekonomi PDK.

Menurut Dekan PPSK, Profesor Dr Norazmi Mohd Nor, kerjasama yang wujud antara JKM dan USM selama ini telah banyak membantu meningkatkan nilai kehidupan OKU.

"USM merupakan sebuah universiti yang cenderung dalam membantu masyarakat terkebawah terutama golongan B40 dan USM akan terus memainkan peranan sebagai pendorong serta pemangkin kepada kelestarian kehidupan masyarakat.

"PPSK mewujudkan Unit Transformasi OKU dalam memastikan perancangan kita membantu golongan OKU untuk meningkatkan taraf hidup mereka dapat dilaksanakan dengan lebih terancang melalui latihan kemahiran yang disediakan dan ianya telah terbukti kerana ada yang mampu mendapat pekerjaan," ujar beliau semasa menyampaikan ucapan dalam bengkel tersebut, hari ini.

Bengkel ini memberi pendedahan kepada para peserta khususnya Penyelia PDK untuk meneroka peluang pemasaran atas talian dengan menggunakan aplikasi serta platform bersesuaian di samping penggunaan teknologi ICT secara optimum untuk kepentingan PDK.

Bengkel dua hari yang melibatkan seramai 50 peserta dari 45 PDK seluruh negeri Kelantan telah dirasmikan oleh Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman

  • Created on .
  • Hits: 762

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024