USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

111 PELAJAR SERONOK BERMALAM DI MUZIUM USM SAMBUT HARI KEBANGSAAN

40321014 10204915410522582 2845844479926075392 n

PULAU PINANG, 3 Sept. 2018 – Bagi 111 orang pelajar dari tujuh sekolah sekitar Pulau Pinang dan Kedah, pengalaman menyertai Program Bermalam di Muzium 2018 di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) Universiti Sains Malaysia (USM) adalah pengalaman baharu yang begitu menyeronokkan, malah memberi banyak manfaat kepada mereka.

Program anjuran Jabatan Muzium Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu dijalankan selama 2 hari 1 malam (30-31 Ogos 2018) dan turut diadakan serentak di 34 muzium lain di seluruh negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan Malaysia ke-61 membabitkan pelajar-pelajar berusia 13 hingga 17 tahun.

Sekolah yang terpilih mengikuti program ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena; SMK Bukit Gambir; SMK Bukit Jambul; SMK St George Balik Pulau; SMK Kulim, Kedah; Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau dan MRSM Kepala Batas.

Menurut Pengarah MGTF, Zolkurnian Hassan, program itu bertujuan membentuk dan mendidik generasi muda supaya berpengetahuan dan peka terhadap khazanah warisan negara, di samping menanam semangat patriotisme dan cintakan warisan negara.

“Hubungan antara kaum juga dapat dieratkan apabila peserta program terdiri daripada pelbagai bangsa, dan ia juga mampu menggalakkan budaya mengunjungi muzium dalam kalangan generasi muda terutamanya pelajar sekolah,” katanya.

Katanya lagi, beliau amat berbangga kerana Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah USM dipilih kali ini untuk menjadi muzium tuan rumah untuk negeri Pulau Pinang.

“Memandangkan program ini diadakan sempena Bulan Kebangsaan, justeru konsep dan bentuk pengisian/aktiviti adalah dipacu ke arah membentuk jiwa dan semangat patriotisme yang tinggi,” kata Zolkurnian.

Antara aktiviti yang dijalankan di sepanjang program ialah melakar dan mewarna bendera Malaysia, kuiz Kemerdekaan, lukisan Sayangi Malaysiaku, pencerapan bintang dan kuliah keagamaan.

Pada hari kedua pula, pelajar mengikuti aktiviti senaman dan merentas Universiti, dan juga berpeluang melihat demonstrasi seni ukiran sarang putu dan masakan putu bersama Adiguru Seni Ukiran Halus Kebangsaan, Norhaiza Noordin, yang baru-baru ini mempamerkan hasil karyanya di MGTF.

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1084

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024