USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LAPAN PASANGAN KEMBAR TERUJA LANJUT PENGAJIAN DI USM

DSC 5708

PULAU PINANG, 7 Sept. 2018 – Lapan pasangan kembar yang terpilih melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) adalah antara yang mencuri tumpuan dan menyemarakkan suasana Majlis Sambutan Siswa dan Lafaz Ikrar pelajar-pelajar baharu di sini hari ini.

Selain lapan pasangan di kampus induk itu, dua lagi pasangan yang terpilih kini mengikuti pengajian di Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal dan Kampus Kesihatan di Kelantan, menjadikan jumlah keseluruhan sepuluh pasangan kembar.

Bagi kembar berasal dari Johor Bharu, Tan Si Hwa dan Tan Si Jie, 20, kejayaan terpilih ke USM menimbulkan perasaan yang sukar digambarkan memandangkan mereka tidak menaruh sebarang harapan untuk diterima secara bersama-sama walaupun hakikatnya mereka tidak pernah berpisah sejak dilahirkan.

“Ini adalah kali pertama berjauhan dengan keluarga namun perasaan sedih itu hilang apabila kembar saya turut ditempatkan di sini (USM). Malah kursus yang diterima juga adalah sama iaitu Teknologi Industri,” ujar Si Hwa, anak kedua dan ketiga daripada empat adik-beradik itu.

Menurut satu lagi pasangan, Noor Farah dan Noor Sarah Ramlan, 20, mereka sangat meminati bidang Biologi dan teruja kerana dapat menyambung pengajian bersama serta dalam kursus yang sama walaupun pernah berada di sekolah menengah yang berlainan ketika di Tingkatan 1 hingga 3.

Noor Farah yang dilahirkan 10 minit awal berbanding Noor Sarah adalah anak ketiga dan keempat dari sebuah keluarga yang menetap di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Kami berdua juga sangat meminati bidang tarian dan berharap dapat menyertai kumpulan Adikarma USM,” tambah Noor Farah. 

Bagi pasangan Roshini dan Rohini, 19, yang berasal dari Bayan Lepas pula, ibu bapa mereka adalah insan paling gembira menerima khabar kedua-dua anak bongsu mereka ditempatkan di Universiti yang sama.

“Kami tidak pernah berpisah dari kecil sehinggalah menghabiskan pengajian di peringkat sekolah. Pun begitu kami tidak kisah jika sekiranya mendapat tawaran di luar Pulau Pinang asalkan masih tetap bersama. Namun siapa sangka, sudahlah mendapat tawaran di Universiti yang sama malah tidak jauh pula dari rumah.

“Ibu bapa yang paling gembira kerana tidak perlu terlalu bimbangkan kami dan berulang-alik melawat jika berjauhan. Doa dan harapan kami semua tertunai dengan kejayaan ini,” ujar pasangan itu yang dipisahkan selama 14 minit ketika waktu kelahiran.

Selain pasangan kembar, pasangan adik-beradik Faizatul Akmal Abdullah, 37 dan Farihah Abdullah, 31 berkongsi kegembiraan kerana dapat bersama-sama menyambung pengajian dalam bidang Seni Halus (Lakonan dan Pengarahan) di Pusat Pengajian Seni, USM.

Mereka yang dipilih melalui saluran khas USM (Warga Budaya) itu pernah terlibat dalam pementasan teater, bidang pengacaraan serta lakonan drama.

Namun, menurut Faizatul Akmal, kini mereka lebih banyak terlibat di belakang tabir seperti alih suara, penulisan skrip drama dan iklan.

Ditanya tentang perasaannya yang bakal meneruskan pengajian dengan pelajar yang lebih muda, beliau berkata itu adalah cabarannya dan berharap dapat menggunakan ilmu sedia ada untuk berkongsi dengan rakan-rakan seperjuangan.

Kesemua pasangan bertuah ini diraikan dalam Majlis Sambutan Siswa Sidang Akademik 2018/2019, serentak majlis bacaan ikrar pelajar baharu yang disaksikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan pengurusan tertinggi Universiti.

Teks: Marziana Mohamed Alias & Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1360

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024