USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM BUDDIES JAMBOREE TERIMA MAKLUM BALAS POSITIF

DSC 3046

PULAU PINANG, Ogos 2018 – Buddies Jamboree dengan tema GENESIS yang telah dianjurkan oleh Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Bahagian Education Malaysia (BEM) di Kementerian Pendidikan Malaysia menerima maklum balas positif daripada para peserta. 

“Genesis: Buddies Jamboree” ini diadakan bertujuan memberikan peluang kepada Student Buddies untuk mendapatkan pendedahan dan berkongsi pengalaman dalam merapatkan jurang di antara pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa di universiti masing-masing selain membentuk jaringan sesama mereka. 

Program ini juga bertindak sebagai suatu titik permulaan dalam memupuk sifat kepimpinan dalam kalangan peserta ke arah agenda pengantarabangsaan Universiti Awam di seluruh negara serta pendedahan untuk menjadi duta kepada para pelajar antarabangsa.

Melalui program ini juga, satu resolusi telah dibentuk dan antaranya adalah untuk memartabatkan Student Buddies di semua universiti awam di Malaysia dan mengiktiraf fungsi dan peranan Student Buddies dalam agenda pengantarabangsaan. 

Penganjuran buat julung kalinya ini disertai oleh lebih kurang 100 peserta yang terdiri daripada Student Buddies atau sekumpulan sukarelawan pelajar yang menyokong agenda pengantarabangsaan dari pusat-pusat antarabangsa di seluruh Universiti Awam di Malaysia. 

“Program jamboree ini adalah yang terbaik yang pernah saya ikuti dan kenangan yang diciptakan bersama ini akan terus tersemat di hati saya,” kata Siti Norziahidayu Amzee Zamri dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). 

Muhammad Muaz Shamsuddin dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pula mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana mempamerkan satu program yang sangat hebat. 

Kesemua peserta sangat teruja dengan program-program yang dianjurkan dan melakukan yang terbaik untuk universiti masing-masing dalam menzahirkan tujuan sebenar program ini diadakan. 

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan selama lima hari berkampung di USM termasuk sesi perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan Buddies, Box Boat Race, Georgetown Heritage Tour, Forum Buddies, Explorace serta Malam Gala yang menyaksikan persembahan kumpulan-kumpulan peserta yang terlibat. 

Malam Gala ini adalah untuk meraikan dan menghargai selain menandakan kepentingan mempunyai Student Buddies untuk menyokong agenda pengantarabangsaan institusi pengajian tinggi awam.

Pada malam itu juga, diumumkan para pemenang untuk pertandingan yang telah diadakan termasuk poster terbaik, panji terbaik, video promosi program mobiliti terbaik dan juga kumpulan terbaik. 

Para pemenang adalah seperti berikut dan johan membawa pulang wang tunai berjumlah RM500, naib johan RM300 dan tempat ketiga RM150.

Poster Terbaik :
Johan - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) 
Naib Johan – Universiti Sains Malaysia (USM)
Ketiga – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 

Panji Terbaik : 
Johan – Universiti Sains Malaysia (USM)
Naib Johan – Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Ketiga – Universiti Malaya (UM)

Video Promosi Program Mobiliti Terbaik :
Johan – Universiti Sains Malaysia (USM)
Naib Johan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Ketiga – Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Kumpulan Terbaik :
Johan – Purplishers 
Naib Johan – Pink Panther 
Ketiga – Hak-Tuih 

Persembahan Kumpulan Terbaik :
Johan – Hak-Tuih 
Naib Johan – Pink Panther
Ketiga – Red Warriors 

Peserta Lelaki Terbaik : 
Muzafar Mahyudin – Universiti Malaya (UM) 

Peserta Wanita Terbaik : 
Nurin Syahirah Anwar – Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Majlis perasmian bagi program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah manakala Malam Gala dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail. Turut hadir ialah Pengarah IMCC, Dr. Muhizam Mustafa dan Timbalan Pengarah IMCC, Dr. Mohd. Hafizal Mohd. Isa.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1492

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024