USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAJA MUDA PERLIS TAULIAH 1,788 PEGAWAI KADET MUDA PALAPES

EAM 0171

USM, PULAU PINANG, 18 Ogos 2018 – Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, hari ini berkenan berangkat bercemar duli menyampaikan watikah pentauliahan kepada sejumlah 1,788 pegawai kadet PALAPES dari seluruh 18 Universiti Awam dan satu universiti swasta iaitu Akademi Laut Malaysia di Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai tuan rumah. 

Pada majlis yang sama, Raja Muda Perlis turut berkenan menyampaikan Anugerah Pegawai Kadet Terbaik kepada 33 orang kadet termasuk Pegawai Kadet Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). 

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.  Istiadat Pentauliahan Diraja Kadet PALAPES Universiti Awam ke-37 pada kali ini menyaksikan seramai 1,178 kadet TDM, 293 kadet TLDM dan 317 kadet TUDM menerima pentauliahan masing-masing dan disaksikan oleh ahli keluarga yang hadir. 

EAM 0197

Raja Muda Perlis juga telah berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa perbarisan yang diketuai oleh pelajar tahun akhir dari Pusat Pengajian Teknologi Industri USM, Yap Rui Zhi yang juga kadet terbaik PALAPES Darat USM. 

Rui Zhi, 23, yang berasal dari Petaling Jaya Selangor turut aktif dalam bidang ko-kurikulum lain termasuk menyertai Kembara Ekspedisi Gua Tempurung, Sekretariat Ekspo Konvokesyen, Temasya Olahraga Tahunan serta Exco Persatuan Teknologi Industri USM. 

EAM 0293

Selain Rui Zhi, Izni Dalila Mizham dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM dinobatkan kadet terbaik PALAPES Laut manakala Muhammad Nur Falikh Shamsudin, pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM dianugerahkan kadet terbaik PALAPES Udara. 

EAM 0324

Hadir sama ialah Menteri Pertahanan, YB Tuan Haji Mohamad Sabu; Timbalan Menteri Pertahanan, YB Senator Liew Chin Tong; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Zulkifli Haji Zainal Abidin; Panglima-panglima Tentera Darat, Laut dan Udara; wakil Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Dato’ Hj. Abdul Halim Haji Hussain serta Naib Canselor USM yang juga Komandan PALAPES USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 2048

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024