USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERKHIDMATAN BAS PERCUMA CAT DILANCARKAN DALAM KAMPUS INDUK USM

DSC 2145

PULAU PINANG, 26 Julai 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang apabila melancarkan perkhidmatan bas percuma Congestion Alleviation Transport (CAT) Sungai Dua di Padang Kawad USM, di sini baru-baru ini.

Perkhidmatan yang julung kali dilaksanakan itu bertujuan untuk membantu mengurangkan kesesakan dan penggunaan kenderaan persendirian serta melancarkan lalulintas terutama di kawasan sekitar Batu Uban.

DSC 2175

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Kumaresan A/L Arumugam berkata, selain mengurangkan kesesakan, perkhidmatan yang turut mendapat kerjasama Rapid Penang itu disifatkan dapat memupuk budaya penggunaan pengangkutan awam terutamanya kepada golongan pelajar dan belia yang berada di sekitar USM.

“Saya berharap agar pelajar di USM menggunakan peluang yang diberikan ini dengan sebaik mungkin kerana ia sangat memberikan manfaat kepada semua terutama pelajar yang ingin ke kelas dan sebagainya,” katanya yang juga Alumni USM itu.

Tambah beliau, perkhidmatan bas percuma CAT pertama kalinya dilancarkan dalam kampus dan merupakan satu inisiatif yang baik dan baharu kepada warga USM serta penduduk di sekitar negeri ini.

DSC 2132

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Rapid Penang yang telah mengambil inisiatif ini untuk membantu pelajar dengan kemudahan yang disediakan,” ujarnya lagi.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Ketua Pegawai Operasi Rapid Penang, Mohd Azmi Abdullah; wakil-wakil agensi kerajaan, pelajar dan sebagainya.

Pelancaran perkhidmatan bas percuma CAT Sungai Dua ini merupakan laluan yang ke-11 dengan berkonsepkan ‘loop’ atau pusingan di mana laluan akan bermula dan berakhir di Padang Kawad USM.

DSC 2194

Sebanyak lima buah bas percuma yang berwarna hijau disediakan bagi laluan Sg Dua dan kekerapan bas adalah selang 20 minit bergantung kepada jadual perjalanan dalam trafik semasa. Perkhidmatan ini akan mula beroperasi pada jam 5.30 pagi sehingga 11.30 malam termasuk dalam kampus USM.

Selain itu, ia juga dapat membantu aktiviti harian penduduk setempat termasuk pelajar dan staf USM untuk bergerak menggunakan pengangkutan awam.

DSC 2197

Jalan-jalan yang terlibat bermula dari Jalan Bukit Gambir, Jalan Pekaka, Jalan Sungai Dua, Lengkok Nipah, Jalan Tun Dr. Awang, Jalan Kampung Relau, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Aziz Ibrahim, Persiaran Bayan Indah, dan Jalan Universiti. Jumlah keseluruhan panjang laluan adalah sepanjang 13km.

Teks: Puteri Najwa Othman (Pelajar praktikal MPRC)/Suntingan: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 2316

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024