USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMBANGUNAN BERPERINGKAT 20 EKAR TANAH TERBIAR MELALUI MOU USM-QSR

DSC 1036 800x600

NIBONG TEBAL, 5 Julai 2018 – Seluas 20 ekar kawasan terbiar di dalam Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) akan dibangunkan secara berperingkat melalui Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Sains Malaysia dan QSR Brands (M) Holdings Bhd.

Berikut dinyatakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dalam ucapan beliau ketika Majlis Penandatanganan dan Pertukaran MoU yang berkenaan di sini hari ini.

“Selain daripada itu, pembangunan ini juga akan dapat menjimatkan jumlah tenaga elektrik yang digunapakai oleh kampus ini melalui kewujudan panel tenaga solar di kampus ini nanti.

"Malah, projek yang dijangka siap dalam tempoh masa setahun hingga setahun setengah ini, yang diterajui USAINS Holding Sdn Bhd, dijangka akan memberikan pulangan kewangan yang lumayan kepada universiti,” kata Asma.

Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan perlaksanaan projek ini merupakan pembangunan pertama seumpamanya di Kampus Kejuruteraan USM dan kawasan sekitar; tambahan lagi premis makanan segera pandu lalu (drive-through) seluas 30,000 kaki persegi yang akan dibangunkan, dijangka memberi pelbagai manfaat kepada kedua-dua belah pihak kelak.

“Kerjasama ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada komuniti sekitar kampus yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial USM sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi.

“Projek ini juga walaupun dijalankan di dalam ‘compound’ universiti, ianya akan turut boleh diakses dan dimanfaatkan secara bersama oleh masyarakat sekitar kampus kejuruteraan ini,” tambah Asma.

Menurut Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd, Datuk Mohamed Azahari Mohamed Kamil pula, MoU ini merupakan kerjasama komersil pertama QSR Brands dengan universiti awam tempatan ke arah pengkomersialan aset dan penjanaan pendapatan sebagai hasil tambahan bagi kelestarian berterusan dalam portfolio pelaburan syarikat.

“Saya juga amat berbangga dengan kepercayaan yang diberikan oleh USM ke atas program-program peningkatan kerjaya dan pensijilan dalaman di bawah kelolaan KFC dan Pizza Hut.

“Malah, kerjasama antara QSR Brands dan USM dalam membangunkan micro-credential degree dalam bidang pengurusan restoran dan pematuhan halal akan membantu pembangunan kerjaya anggota pekerja kami di dalam industri yang serba kompetitif ini,” tambah Azahari.

Beliau turut menyatakan bahawa kolaborasi bersama universiti penyelidikan unggul seperti USM ini juga akan membuka peluang kepada QSR dalam meneroka pelbagai pendekatan yang boleh diaplikasi di dalam proses pengeluaran dan perkhidmatan syarikat melalui kepakaran universiti ini nanti.

QSR Brand (M) Holdings Bhd yang merupakan operator francais kepada restoran KFC serta Pizza Hut ini turut terlibat dalam pembiakan baka ayam, perladangan ayam kontrak, penetasan telur ayam, pengeluaran dan pemprosesan daging ayam bersama-sama dengan pelbagai perniagaan sampingan berkaitan lain.

Selain daripada USAINS Holdings Sdn Bhd, projek lanjutan daripada Program Built-Operate-Long-Lease-Transfer (BOLLT) ini turut diterajui oleh Pihak Pengurusan Kampus Kejuruteraan USM serta pihak pemaju menggunapakai konsep Optimization, Saving dan Income Generation (OSI), yang mana ianya akan memaksimumkan keberhasilan setiap pihak yang terlibat melaluinya.

Yang turut hadir, Timbalan-timbalan Naib Canselor USM, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Pegawai-Pegawai Utama Universiti dan Pegawai-Pegawai Utama QSR Brands (M) Holdings Bhd.

Teks: Siti Faizah Abdul Halim

  • Created on .
  • Hits: 2111

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024