KARYA SENI PELAJAR USM JUARAI ‘BUTTERWORTH OPEN ART COMPETITION 2018’
BUTTERWORTH, 2 Julai 2018 – Dua pelajar tahun 3, Bahagian Seni Halus, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), Norfatihah binti Yusof dan Putri Intan Sari binti Amrizal telah merangkul tempat pertama bagi Kategori Instalasi, ‘Butterworth Open Art Competition 2018’ baru-baru ini.
Karya instalasi yang bertajuk 'The Magical Bloom of Our Future' menceritakan tentang harapan dan visi Butterworth Baharu melalui representasi alam. Karya tersebut dihasilkan menggunakan seramik di bawah seliaan Dr. Shamsu Mohamad, pensyarah Bahagian Rekaan Produk, Pusat Pengajian Seni USM.
Menurut Dekan Pusat Pengajian Seni USM, Dr. A.s. Hardy Shafii, hasil karya tersebut membuktikan bahawa bakat, kreativiti, kesungguhan tidak cukup jika pengkarya tidak berani untuk menggabungkan pelbagai disiplin ilmu seni, sains dan teknologi bagi melahirkan artis yang berminda holistik serta peka dengan isu-isu kontemporari.
“Pelajar ini juga setelah menambahkan ilmu praktikal semasa latihan industri telah mampu menghasilkan idea yang baharu dan segar bagi mencetus nilai artistik yang lebih bermutu,” kata Hardy, yang bangga dengan pencapaian terkini warga Pusat Pengajian Seni.
Hadiah yang dimenangi telah disampaikan oleh EXCO Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang, YB Yeoh Soon Hin bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, Dato' Sr. Haji Rozali Haji Mohamud.
Norfatihah dan Putri Intan membawa pulang piala dan wang tunai RM3,000.
Program ‘Butterworth Open Art Competition 2018’ ini dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Penang Global Tourism, dengan kerjasama Think City, Zart Eventive, Province Wellesly Run (PWR) dan TLM Event.
- Created on .
- Hits: 1772