PKAPUSM RAI MURID-MURID SEKOLAH PENDIDIKAN KHAS PULAU PINANG BERBUKA PUASA
TANJUNG BUNGAH, 11 Jun 2018 – Buat tahun kelima berturut-turut, Persatuan Kakitangan Akademik dan Pentadbiran Universiti Sains Malaysia (PKAPUSM) meneruskan majlis berbuka puasa bersama murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang di sini.
Berucap di majlis yang diadakan pada 7 Jun lalu, Presiden PKAPUSM, Profesor Madya Dr. P. Sundramoorthy berkata, program ini diadakan untuk meraikan dan menceriakan murid-murid yang kurang keupayaan pendengaran ini sempena Ramadhan yang bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi sebelum Syawal menjelma.
Sundramoorthy juga mengingatkan semua murid-murid untuk sentiasa menghayati dan menghormati Rukun Negara ke arah membentuk sebuah negara yang makmur, bersatu padu dan harmoni dengan rakyatnya yang mengutamakan etika dan integriti, ikhlas, jujur dan bebas daripada rasuah.
“Kami sebagai orang dewasa perlu menjadi contoh insan yang baik dan rakyat yang berintegriti yang berpegang teguh pada prinsip-prinsip etika serta mempunyai keberanian moral untuk menegakkan kebenaran, dan berharap nilai-nilai ini akan diteladani dan dipraktik oleh generasi muda seperti anda semua.
“Jangan biarkan ketidakupayaan pendengaran anda itu sebagai kekangan/halangan untuk anda mengejar impian anda, sebaliknya setiap seorang dari anda juga dapat memenuhi peranan anda dalam masyarakat dan menyumbang kepada komuniti dan negara,” katanya di hadapan lebih 170 orang pelajar sekolah rendah dan menengah yang hadir.
“Saya berharap kehadiran kami sedikit sebanyak dapat memberi galakan dan motivasi untuk semua anak-anak murid belajar bersungguh-sungguh dan menjadi insan yang berguna kepada msyararakat apabila dewasa kelak,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengetua SMK Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang, Eshamuddin bin Abd Rahim menyuarakan rasa syukur dan amat berterima kasih kepada pihak USM yang banyak membantu aktiviti-aktiviti sekolah, dan khususnya kepada PKAPUSM kerana saban tahun menghulurkan sumbangan untuk penganjuran majlis berbuka puasa bersama warga sekolah.
Katanya, “Bukan selalu anak-anak murid ini menerima kunjungan dari pihak luar, lebih-lebih lagi dari pihak pensyarah dan staf universiti, untuk bersua muka, berinteraksi serta mengeratkan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan di bulan yang mulia ini.
“Ramai juga anak-anak murid sekolah ini yang berasal dari Sabah, Sarawak dan Johor yang tidak berpeluang balik ke kampung halaman untuk berbuka puasa bersama ahli-ahli keluarga mereka.
“Sekurang-kurangnya, dengan adanya program seumpama ini, mereka dapat merasakan ada ibu bapa, guru dan orang dewasa yang menghargai kehadiran mereka di Pulau Pinang,” katanya.
"Semoga program ini dapat diteruskan lagi pada tahun akan datang dalam menjaga kelangsungan hubungan antara USM dan sekolah ini yang sedia terjalin sekian lama.
“Pihak sekolah sentiasa membuka pintu dan mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak dari USM dalam penganjuran aktiviti yang dapat membantu meningkatkan prestasi pendidikan anak-anak murid sekolah ini.”
Eshamuddin turut mengingatkan anak-anak muridnya agar belajar untuk berdikari dan sentiasa berterima kasih serta bersyukur atas segala bantuan yang diberikan kepada mereka semasa mengikuti pendidikan di sekolah ini.
Selain dijamu hidangan enak, turut diadakan ceramah motivasi dan sumbangan duit raya yang disampaikan oleh ahli-ahli PKAPUSM kepada murid-murid istimewa berkenaan.
Yang turut hadir, Prof. Datuk Dr. Omar Shawkataly; Naib Presiden PKAPUSM, Siti Noraini Jupri; barisan AJK Eksekutif PKAPUSM, serta pihak pengurusan dan para guru sekolah.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Jurufoto MPRC
- Created on .
- Hits: 2291