USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

FAMELAB INTERNATIONAL 2018: PENSYARAH USM DINOBAT ‘KOMUNIKATOR SAINS TERBAIK DUNIA’

34665484 1799414443452914 4875374388809039872 n

PULAU PINANG, 11 Jun 2018 – Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Siti Khayriyyah Mohd Hanafiah mengharumkan nama negara setelah dinobatkan sebagai ‘Komunikator Sains Terbaik Dunia’ dalam pertandingan FameLab International 2018 di The Arena, Cheltenham, United Kingdom, minggu lalu.

Pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM itu berjaya menawan hati panel juri dan memukau beratus-ratus penonton di The Arena, melalui pembentangan bertajuk 'To Find a Hidden Killer' (Mencari Pembunuh Tersembunyi) berkenaan penggunaan pasangan antibodi-antigen untuk diagnosis penyakit tuberculosis (tibi) atau batuk kering.

Dalam pusingan akhir, Siti Khayriyyah, 33, menewaskan 11 finalis lain dari pelbagai negara termasuk Mesir, Poland, Kazakhstan, United Kingdom, Afrika Selatan, Greece dan Cyprus.

“Kemenangan ini telah membuka suatu lembaran baru iaitu menunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia juga mempunyai bakat dan kemampuan untuk cemerlang dalam bidang sains dan teknologi,” kata Siti Khayriyyah sambil melahirkan rasa terkejut, terharu dan bersyukur ketika diumumkan sebagai pemenang.

“Ianya adalah satu pengalaman yang paling bermakna dan berharga kerana dapat menarik perhatian penonton serta juri semasa membuat persembahan serta mendapat maklumbalas yang baik dan positif,” tambahnya.

“Nasihat saya kepada penyelidik/pensyarah yang ingin menyertai pertandingan sebegini, baik tua atau muda, jangan ragu-ragu pada diri -- cuba dahulu! Selagi anda ada mesej untuk disampai, berikan diri peluang untuk didengar khalayak ramai,” saran beliau yang banyak didorong oleh suami, ibu, keluarga serta rakan-rakan dalam menyertai pertandingan ini.

“Saya yakin semua penyelidik memilih bidang sains kerana perasaan tertarik, teruja, dan sayang kepada ilmu dan bidang tersebut. Tetapi kadangkala, semakin lama dalam bidang sains, mungkin perasaan tersebut dilupakan. Apabila dapat berkongsi dengan orang ramai secara mudah dan efektif tentang apa yang menarik atau penting tentang bidang kajian, ia dapat memupuk kembali sayang yang mungkin telah pudar itu dan sekaligus dapat menyebarkan mesej tersebut kepada orang ramai,” nasihat Siti Khayriyyah.

Ibu kepada dua anak kecil itu sebelum ini menjuarai saingan FameLab peringkat kebangsaan pada awal bulan Mei setelah menewaskan sembilan saintis muda tempatan, sekaligus melayakkan beliau mewakili Malaysia di saingan peringkat akhir/antarabangsa.

FameLab International adalah pertandingan menguji kemahiran lisan saintis muda dalam menyampaikan teori dan konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam bentuk kreatif dan penyampaian yang mudah untuk difahami oleh khalayak dalam tempoh tiga minit. Setiap persembahan dinilai berdasarkan kandungan, kejelasan dan karisma penyampai.

Kemahiran penyampaian secara lisan ini adalah salah satu cabang dalam komunikasi sains bertujuan menarik minat umum dengan topik sains dan teknologi yang sering dianggap sebagai sesuatu yang rumit dan tidak menyeronokkan dalam kalangan orang awam.

Pertandingan berprestij itu berlangsung sempena Pesta Sains Cheltenham (Cheltenham Science Festival) yang berlangsung dari 5 - 10 Jun 2018. Pesta selama enam hari itu membabitkan bidang sains, kejuruteraan dan seni, dan membawa saintis dan pemikir terkemuka dunia bersemuka dengan orang ramai melalui sesi soal-jawab, interaksi, perdebatan, eksperimen dan penemuan yang menakjubkan.

FameLab diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2015 oleh British Council dengan kerjasama Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT).

  • Created on .
  • Hits: 1740

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024