NAIB CANSELOR USM SANTUNI GOLONGAN ASNAF DAN ANAK YATIM DI MAJLIS IFTAR PERDANA IPPT
BERTAM, 4 Jun 2018 – Seramai lebih 400 orang warga Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan keluarga telah mengimarahkan Majlis Iftar Perdana IPPT peringkat Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan di Kompleks Penyelidikan Klinikal di sini semalam.
Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.
Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya dan barangan keperluan asas kepada keluarga asnaf, anak yatim dan pelajar tahfiz yang dijemput khas bagi bersama-sama berbuka puasa bersama warga IPPT.
Sumbangan berkenaan adalah hasil daripada inisiatif staf IPPT di semua peringkat jawatan yang merasa terpanggil untuk menyumbang bagi meraikan golongan yang kurang bernasib baik.
Antara objektif majlis ini diadakan adalah untuk melahirkan semangat kekeluargaan dan kekitaan dalam kalangan warga IPPT USM serta masyarakat sekitar sekaligus membuka peluang untuk warga IPPT USM berbuka puasa bersama-sama pada bulan Ramadhan kali ini.
Sebelum majlis berbuka, tazkirah ringkas turut disampaikan oleh Dato’ Al-Ustaz Haji Ellias Haji Zakaria. Dalam tazkirah ringkasnya, beliau turut mengingatkan tentang konsep ibadah dalam pekerjaan yang mana menurutnya bagi kakitangan universiti ini, tugas menyebarkan ilmu itu adalah satu ibadah.
Beliau turut mengingatkan hadirin tentang Fasa Terakhir Ramadhan yang mana terlalu besar ganjaran di dalamnya.
“Selain menggandakan amalan, sudah pastinya buruan utama kita adalah mendapatkan 'Malam Lailatul Qadar', malam yang lebih baik dari 1,000 bulan,” katanya.
“Namun begitu pada 10 hari terakhir Ramadhan inilah pula terlalu banyak godaan dan cabaran yang harus kita tempuhi. Segalanya bergantung kepada diri kita sendiri, antara duniawi atau akhirat dan yang mana satukah menjadi keutamaan kita,” tambahnya lagi.
Turut hadir dalam majlis berkenaan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pendaftar, Dr. Musa Ali serta pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Faisal Jamaludin/Foto: Norizan Ishak
- Created on .
- Hits: 1398