TOT USM: PEMANGKIN KECEMERLANGAN SUKAN OLAHRAGA NEGARA
USM, PULAU PINANG, 28 April 2018 – Temasya Olahraga Tahunan (TOT) Universiti Sains Malaysia (USM) dilihat mampu menjadi pemangkin kepada kecemerlangan sukan negara dalam melahirkan lebih ramai atlet mahasiswa yang berkualiti dan seimbang dari segi pencapaian akademik dan penglibatan dalam bidang sukan.
Demikian kata Pro-Canselor USM, Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan dalam ucapannya ketika merasmikan TOT ke-44 USM di Stadium Olahraga di sini semalam.
Menurut Jegathesan, penganjuran TOT telah berjaya memberi pulangan lumayan kepada universiti dan warga USM, dalam bentuk pembangunan sukan iaitu melahirkan bakat-bakat baru, pembangunan sahsiah, pembangunan pengurusan sukan, pengukuhan ikatan kerjasama sesama warga USM, dan juga kolaborasi antara USM dengan pihak luar.
“Selain itu, ia juga membolehkan warga kampus menerapkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan, sama ada secara riadah atau kompetitif, seiring dengan inisiatif #USMFIT yang diutarakan oleh Naib Canselor sendiri semasa Perutusan Naib Canselor 2018 dua bulan lalu,” katanya.
Katanya lagi, dengan penglibatan mahasiswa dan mahasiswi dalam kejohanan/temasya sukan seperti TOT ini, dapat merealisasikan hasrat Universiti untuk melahirkan graduan yang mempamerkan ciri-ciri H.E.B.A.T (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate & Thinking), serta mempunyai sifat kepimpinan dan semangat kesukarelawanan yang tinggi.
TOT ke-44 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga 29 April itu menyaksikan persaingan 18 kontinjen yang mengambil bahagian iaitu 10 kontinjen Desasiswa, 7 kontinjen badan beruniform dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta 1 kontinjen staf universiti; dibarisi 400 atlet bagi merebut pingat dalam lebih 24 acara balapan/trek dan padang selain melibatkan 180 sukarelawan pelajar.
Majlis perasmian dimeriahkan lagi dengan perbarisan lintas hormat daripada semua kontinjen termasuk pasukan badan-badan beruniform serta penyertaan julung kalinya perbarisan daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Sementara itu, menurut Pengerusi TOT ke-44, Nur Fatin Silmi Mohd Azani, tema TOT kali ini ‘Keharmonian Etnik’ yang diketengahkan ini mampu meningkatkan semangat perpaduan serta tali persaudaraan sesama kita agar dapat melahirkan sebuah negara yang aman dan harmoni walaupun berbeza agama dan budaya.
Penaja utama TOT kali ini adalah Bank Muamalat, Lucozade Sports Drinks, JW Forza, DeliverEat selain penaja sampingan yang lain.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan mewakili Naib Canselor USM; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein; Pendaftar USM, Dr. Musa Ali; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Muhammad Mohd Hanif dan Pengurus Persampelan dan Acara, Unit Perkhidmatan Pemasaran, Nestle Products Sdn. Bhd.,Tuan Syed Amir Faisal Syed Ali.
Teks: Nurul Huda Abdullah/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1172