USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERNAFASAN BERBUNYI DALAM KALANGAN BAYI DAN KANAK-KANAK USAH DIPANDANG REMEH

bfngfnhg 640x480

USM, KUBANG KERIAN, 16 Mei 2018 – Kesempitan saluran pernafasan dalam kalangan kanak-kanak boleh menjadi serius kerana secara amnya saluran pernafasan kanak-kanak adalah lebih kecil daripada orang dewasa, dan penyempitan tersebut boleh menyebabkan masalah pernafasan yang serius. 

Pensyarah Universiti daripada Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Suzina Sheikh Ab. Hamid berkongsi tentang topik tersebut di dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang diadakan di Dewan Utama Kampus Kesihatan hari ini. 

Menurut beliau, pernafasan berbunyi akibat aliran udara yang bergelora tidak sekata dan ianya boleh berlaku di dalam hidung, mulut, tekak, larink, trakea, bronkus atau paru-paru. 

"Merawat kanak-kanak yang mempunyai masalah pernafasan berbunyi adalah mencabar kerana mereka terutamanya bayi hanya akan menangis apabila sukar bernafas; tambahan pula anak kecil menunjukkan gejala yang tidak khusus seperti batuk, demam dan tidak dapat menghuraikan apa yang sedang mereka hadapi sebenarnya. 

"Pernafasan berbunyi boleh terjadi secara akut iaitu tiba-tiba atau kronik yakni secara beransur-ansur, dan ibu bapa perlu membawa anak berjumpa doktor sebaik sahaja mengesan bunyi ketika anak bernafas," ujarnya.

Tambah Suzina lagi, struktur tisu yang lembut pada saluran pernafasan menyebabkan saluran tersumbat separa dan menghasilkan bunyi seperti dalam masalah faringomalasia, laringomalasia, trakeomalasia dan bronkomalasia. Walaupun keadaan tersebut boleh sembuh akan tetapi ada juga kes yang teruk dan membawa maut.

hkghk 800x600

"Ibu bapa perlu peka dengan pernafasan anak-anak kerana pernafasan berbunyi yang teruk akan menyebabkan anak-anak mendapat jangkitan paru-paru yang kerap, tumbesaran terganggu, kesukaran pernafasan, kekurangan oksigen dan gangguan untuk menelan.

"Suka saya mengingatkan kepada ibu bapa, sekiranya anak-anak mengalami gejala berkenaan, jangan takut untuk mendapatkan rawatan kerana bukan semua penyakit perlu dirawat dengan cara pembedahan," ujar beliau mengakiri syarahan yang disampaikan.

Majlis syarahan umum kali ini turut dihadiri oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Dr. Adam Husein; Pengarah Nexus Perubatan dan Sains Kesihatan, Profesor Dr Nik Soriani Yaacob serta Ketua Kluster Sains Kesihatan dan Perubatan, Majlis Profesor Negara Chapter USM, Profesor Dr. Nik Hishamuddin Nik Ab. Rahman.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman

  • Created on .
  • Hits: 5150

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024