USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESION JURURAWAT PERLU DITINGKATKAN

cvbcvb 640x480

USM, KUBANG KERIAN, 15 Mei 2018 - Tanggal 12 Mei setiap tahun merupakan Sambutan Hari Jururawat Sedunia bagi menghargai jasa, pengorbanan dan komitmen tinggi jururawat yang bertungkus-lumus siang dan malam dalam memberi perkhidmatan kepada pesakit.

Ketua Penyelia Jururawat Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Raudzah Haji Mohd Ariffin berkata, Hari Jururawat pada tahun ini disambut dengan tema, 'A Voice to Lead, Health is a Human Right' (Suara ke arah kepimpinan, setiap manusia berhak mendapatkan rawatan terbaik). 

"Jururawat merupakan agen dalam menyampaikan maklumat atau ilmu kesihatan secara terus kepada pesakit dalam merubah sikap pesakit menjaga kesihatan dengan cara yang lebih berkualiti.

"Tanpa mengira lokasi, sempadan atau tempat, perawatan kesihatan sepatutnya boleh dicapai oleh semua pesakit dan kita sebagai jururawat perlu mempermudahkan semua urusan untuk mencapai matlamat tersebut," katanya ketika ditemuramah selepas Majlis Sambutan Hari Jururawat Peringkat Hospital USM.

Menurut Raudzah, hala tuju jururawat di Hospital USM adalah untuk memastikan semua 1,500 orang jururawat di sini mampu memiliki ijazah pertama agar dapat meningkatkan lagi perkhidmatan dengan lebih cemerlang.

"Pengetahuan, kemahiran dan sikap (knowledge, skill and attitude) merupakan perkara penting yang perlu ada dalam diri setiap jururawat bagi membolehkan perawatan pesakit diberikan dengan cara yang terbaik dan penuh dengan keiklasan.

"Ini penting dalam mendepani cabaran masa kini kerana pesakit kini lebih bermaklumat selain ledakan revolusi industri 4.0 yang mungkin mengurangkan jumlah tenaga kerja manusia namun perlu diingat satu perkara yang tiada pada robot ialah 'caring' dan ini hanya ada pada manusia, oleh itu kita perlu tunjukkan yang jururawat masih diperlukan dalam apa era sekalipun," ujarnya lagi.

ghgh 640x480

Raudzah yang berpengalaman selama 31 tahun dalam bidang kejururawatan turut bersetuju jururawat adalah wira yang tidak didendang.

"Tidak ramai yang tahu berkenaan sambutan hari jururawat berbeza dengan sambutan hari guru, namun ini bukanlah perkara yang mematahkan semangat malah jururawat tetap mampu untuk terus menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi demi memastikan nasib pesakit terbela," jelasnya.

Raudzah turut menasihatkan agar semua jururawat perlu ada niat yang betul dan rasa tanggungjawab dalam diri, bekerja dari hati ke hati, letakkan diri kita sebagai pesakit kerana daripada situlah kita sedar apa yang pesakit inginkan dan faktor-faktor tersebut juga yang telah membawa beliau ke tahap di mana beliau berada sekarang.

Teks/Foto: Mohd Hafiz Ya'acob

  • Created on .
  • Hits: 1825

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024