USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HARGAI SUMBANGAN GURU SEBAGAI PENDIDIK ANAK BANGSA

32475311 1775908605803498 8715990387488980992 n

USM, PULAU PINANG, 16 Mei 2018 – Guru, cikgu, ustazah, pensyarah atau apa gelaran sekalipun, mereka inilah guru yang bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak bangsa kita supaya terus mendapat ilmu pengetahuan sama ada ilmu aqli atau naqli. 

Setiap dari kita pasti akan ada nama guru-guru yang bermain di fikiran setiap kali tibanya tarikh keramat 16 Mei saban tahun kerana seluruh negara meraikan guru-guru bersempena dengan ‘Hari Guru’ di Malaysia. 

Menurut Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Hairul Nizam Ismail, para pendidik adalah insan yang banyak berjasa mengorbankan diri,  masa,  harta benda,  keringat dan perhatian mereka demi kemenjadian para pelajar. 

“Kami para pendidik menyanjung dan meyakini profesion ini sebagai satu peluang untuk membentuk pelajar dari segi akademik mahupun dalam aspek sahsiah, nilai dan keperibadian,” tambah Hairul Nizam.

"Kejayaan pelajar adalah kepuasan dan kebanggaan para pendidik. Memang tidak dapat dinafikan besarnya pengorbanan seorang pendidik dalam mendidik anak pelajarnya menjadi orang yang berguna kepada diri,  masyarakat,  agama dan negara.

"Kadang-kadang mereka mendidik anak-anak pelajar sehingga ada yang tidak sempat meluangkan masa untuk anak-anak mereka sendiri. Namun, apa yang dipentingkan oleh para pendidik tersebut ialah keikhlasan dalam pengorbanan mereka itu. Insyaallah, Tuhan pasti akan membalas dengan ganjaran setimpal,  sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak," tambah Hairul Nizam.

Sambutan hari guru ini sangat signifikan walaupun diraikan dalam suasana dan kemeriahan yang sederhana ianya adalah sebagai tanda penghargaan para pelajar atau murid kepada para guru mahupun antara rakan-rakan guru di antara satu sama lain.  

“Guru ibarat lilin yang membakar diri bagi menerangi yang lain” adalah pepatah yang sering digunakan bagi menggambarkan penat jerih para guru dalam mendidik serta berusaha dalam memberikan ilmu yang terbaik kepada para pelajar. 

Tema sambutan Hari Guru bagi tahun ini ialah Guru Pemacu Transformasi Pendidikan yang bermaksud guru ialah agen penting dalam merealisasi transformasi melalui peringkat akar umbi pendidikan dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. 

Selamat Hari Guru kepada semua pendidik terutamanya warga pendidik dan akademia di USM dan teruskan menabur benih kepada anak muda pemimpin masa hadapan.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 2008

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024