USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GEH CHEOW LIN TERIMA ANUGERAH WARNA UNGU UNIVERSITI

EAM 6852 800x600

PULAU PINANG, 15 Mei 2018 – Atlet sukan Perahu Layar, Geh Cheow Lin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ungu Universiti di Majlis Anugerah Sukan ke-40 Universiti Sains Malaysia (USM) kelmarin. 

Cheow Lin menerima anugerah tertinggi tersebut kerana telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak di USM yang menyokong saya berterusan sama ada dalam bidang akademik mahupun sukan serta memberi peluang kepada saya untuk lebih mengasah bakat dalam bidang ini,” kata Cheow Lin yang juga pelajar tahun akhir di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM. 

Cheow Lin yang mula terlibat dalam sukan Perahu Layar 10 tahun lalu pernah juga dinobatkan sebagai Olahragawati USM serta Bintang Harapan Wanita pada Majlis Anugerah Sukan terdahulu. Beliau membawa pulang sijil, wang tunai dan Blazer beserta lencana USM. 

Sementara itu, atlet memanah Malaysia, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dinobatkan sebagai Olahragawati USM bagi kali ketiga berturut-turut manakala atlet Karate, Ivan Oh Theng Wei diangkat sebagai Olahragawan USM pada tahun ini. 

EAM 6842 800x600

“Saya memang bekerja keras untuk anugerah ini kerana ingin membuat koleksi piala tersebut untuk kenangan semasa di USM,” kata Fatin Nurfatehah yang ditemui selepas majlis dan turut membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai. 

Bagi Ivan pula, ini adalah pencapaian pertama beliau kerana masih berada di tahun satu pengajian dan akan terus bekerja keras untuk mengharumkan nama USM pada masa akan datang. 

Majlis Anugerah Sukan adalah acara tahunan bagi mengiktiraf serta menghargai warga sukan dan atlet-atlet yang telah mengharumkan nama USM di pelbagai peringkat. 

Pemilihan pemenang adalah dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan USM yang dipengerusikan oleh Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan.

Antara atlet lain yang menerima anugerah adalah: 

PASUKAN TERBAIK WANITA (<6 atau 6 sepasukan) - Taekwando 

PASUKAN TERBAIK LELAKI (<6 atau 6 sepasukan) - Taekwando

PASUKAN TERBAIK WANITA (> 7 atau 7 sepasukan) - Bola Jaring

PASUKAN TERBAIK LELAKI (>7 atau 7 sepasukan) - Kriket

BINTANG HARAPAN WANITA - Atlet Renang, Rachel See Siow Yan 

BINTANG HARAPAN LELAKI - Atlet Renang, Soon Ye Xang 

Hadir menyampaikan hadiah dan memeriahkan majlis ialah Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan suami serta Timbalan-timbalan Naib Canselor dan isteri, dan juga Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Muhamad Mohd. Hanif dan isteri.

Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 1368

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024