USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SERU LEBIH RAMAI PELAJAR TEMPATAN IKUTI PENGAJIAN BAHASA DAN TERJEMAHAN - TENGKU SEPORA

DSC 0157 800x600

PULAU PINANG, 14 Mei 2018 – “Saya menyeru supaya lebih ramai pelajar tempatan mengikuti pengajian dalam bidang bahasa dan terjemahan kerana pada ketika ini hampir 100 peratus pelajar dalam bidang tersebut di Universiti Sains Malaysia (USM) adalah pelajar antarabangsa dari pelbagai negara,” kata Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, USM Profesor Dr. Tengku Sepora Tengku Mahadi ketika menyampaikan Syarahan Umum Pelantikan Profesor di sini hari ini. 

“Tidak dinafikan bidang pengajian bahasa ini adalah sangat penting terutama dalam penyelidikan di peringkat Sarjana dan Kedoktoran kerana melalui penyelidikan ini dapat mengetahui perkembangan dan peningkatan dalam bidang bahasa.

DSC 0141 800x600

DSC 0144 800x600

“Di USM juga, seramai 41 orang pelajar pascasiswazah sedang mengikuti pengajian di peringkat kedoktoran dan mereka ini menjalankan kajian dalam aspek linguistik, analisis wacana, terjemahan dan interpretasi di samping mengkaji Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Melayu dan Bahasa Parsi,” tambah Tengku Sepora yang mendapat gelaran profesor pada tahun 2014.

Tengku Sepora adalah Profesor dalam bidang terjemahan dan Bahasa Inggeris dan beliau juga adalah pelajar pertama dari Asia yang bergraduasi dalam bidang terjemahan (bahasa Perancis-bahasa Inggeris) iaitu pada tahun 1991.   

Kerana cintanya dalam ilmu dan pengajaran, Tengku Sepora telah mewujudkan Hadiah Pingat Emas USM untuk pelajar terbaik tahun akhir bagi Ijazah Sarjana Muda Sastera Bahasa Inggeris untuk Profesional (Kepujian) dengan sumbangan derma sebanyak RM25,000 oleh Mahadi & Utama Holding Sdn Bhd sempena memperingati bondanya, Tengku Utama Tengku Zainal Abidin. 

DSC 0162 800x600

Beliau yang juga anak ketujuh dari sembilan adik beradik mula menjawat jawatan sebagai pensyarah di USM pada tahun 1995 dan dilantik sebagai dekan pada 1 Januari 2013 sehingga kini.

Syarahan Pelantikan Profesor beliau adalah bertajuk Polemik Kajian Bahasa dan Terjemahan dalam Era Globalisasi dan dihadiri oleh lebih 100 orang staf dan pelajar USM serta kaum keluarga. 

DSC 0178 800x600

DSC 0186 800x600

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Gabenor Universiti Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Konsul Kehormat Republik Perancis, Teoh Seng Aun. 

Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Mohd Isa

  • Created on .
  • Hits: 2146

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024