USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM UCAP TAHNIAH TUN MAHATHIR JADI PERDANA MENTERI KE-7 MALAYSIA

31948541 1771768729550819 2037352092301000704 n

PULAU PINANG, 11 Mei 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-7 Nalaysia.

USM menzahirkan rasa syukur atas pelantikan itu dan percaya dengan pengalaman luas, kebijaksanaan dan kewibawaan yang dimiliki, Mahathir, 93, mampu memikul amanah yang dimandatkan kepada beliau sebagai Perdana Menteri dengan penuh komitmen dan tanggungjawab, dan terus memimpin negara tercinta ini ke arah mencapai pembaharuan, kecemerlangan dan kegemilangan seperti yang diharapkan oleh rakyat sekalian. 

Pastinya USM tambah bangga apabila tugas ini digalas oleh beliau yang juga penerima Ijazah Kehormat Doktor Sains dari Universiti ini di Upacara Konvokesyen Ke-33 pada tahun 2004. 

USM, sebagai IPTA rentas penyelidikan di Malaysia dan satu-satunya Universiti Awam yang diberi status APEX (Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan), akan terus memperkasakan sistem pendidikan tinggi nasional demi memastikan kesinambungan pembangunan negara sejajar dengan aspirasi pucuk pimpinan baharu yang menerajui kerajaan negara dan berlandaskan segala yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini juga merupakan kali kedua Mahathir mengepalai Kerajaan Persekutuan; beliau pertama kali dilantik menjadi Perdana Menteri keempat pada 1981 sewaktu berumur 56 tahun sebelum meletakkan jawatan pada 2003, setelah menerajui tampuk pimpinan negara selama 22 tahun.

Berumur 93 tahun, Mahathir mencipta sejarah lagi menjadi Perdana Menteri tertua di dunia dengan kembali ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya setelah 15 tahun meletakkan jawatan pada 2003.

Setinggi-tinggi tahniah sekali lagi diucapkan kepada YAB Tun dan kerajaan baharu bawah pimpinannya. Semoga Tun diberikan kesihatan yang baik dan dilindungi Allah SWT untuk terus memimpin negara ini.

  • Created on .
  • Hits: 1313

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024