USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ITEX 2018: PENYELIDIK MUDA JADI SANDARAN USM

untitled 800x600

KUALA LUMPUR, 11 Mei 2018 – Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX 2018) buat kali ke-29 memperlihatkan gandingan penyelidik-penyelidik muda sebagai sandaran Universiti Sains Malaysia (USM) bertanding bagi edisi kali ini.

Daripada 60 produk penyelidikan yang disaring di peringkat USM, 20 daripadanya telah terpilih untuk dibawa ke pertandingan berprestij ini.

Apatah lagi yang membanggakan USM adalah 80% daripada mereka adalah dari kalangan penyelidik-penyelidik muda.

Dalam temubual eksklusif dengan Pengarah Pejabat Inovasi dan Pengkomersialan USM, Profesor Dr. Hanafi Ismail, beliau berkata sememangnya beliau mengharapkan penyelidik muda USM dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi agar memberi pendedahan dan pengalaman terbaik buat mereka.

"Penyertaan kali ini majoritinya terdiri daripada penyelidik-penyelidik muda, dan sememangnya menjadi hasrat USM mengetengahkan produk-produk baru mereka dan memberikan input terbaik kepada mereka untuk meningkatkan kualiti produk."

Tambah Hanafi, penyertaan ini bukan sahaja ingin mendapatkan pingat semata-mata, malah pada masa sama berpeluang mengumpulkan produk-produk yang mempunyai potensi industri yang boleh membawa kepada keberhasilan kualiti produk yang lebih baik pada masa akan datang.

"ITEX 2018 cukup memberi manfaat buat penyelidik muda USM kerana mereka berpeluang menerokai hasil-hasil penyelidikan luar negara seperti Korea, Thailand, Taiwan, Arab Saudi dan beberapa buah negara Eropah yang sedia maklum hebat dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)," jelasnya lagi.

Kata Hanafi, beliau amat yakin matlamat USM akan tercapai dalam sedikit masa lagi iaitu USM bakal mempersiapkan jentera pelapis penyelidik yang bukan sahaja menghasilkan penyelidikan yang gah di makmal tetapi hebat mempromosikan hasil penyelidikan ke peringkat global.

"Jelas di sini berdasarkan penilaian saya di peringkat saringan USM, mereka ini terdiri daripada yang amat aktif membuat penyelidikan, tetapi kurang diberikan peluang untuk mengetengahkan hasil produk, dan inilah peluang yang USM bukakan khas buat mereka agar ia menjadi platform untuk kejayaan akan datang."

Pada masa yang sama, Hanafi turut berterima kasih kepada pucuk pimpinan USM, Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail kerana memberi peluang kepada penyelidik muda untuk melangkah ke hadapan, dan beliau yakin USM mampu menghasilkan produk penyelidikan baru yang berkualiti dan berimpak tinggi untuk kesejahteraan negara dan global.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar 

  • Created on .
  • Hits: 921

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024