USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MoU USM-NAHRIM: PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK KAJIAN RAWATAN AIR

EAM 5823 800x600

USM, PULAU PINANG, 1 Mei 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Kimia (PPSK) dengan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama strategik dalam penyelidikan, penerbitan, perkongsian sumber dan kepakaran, serta pembangunan bakat dalam bidang hidropersekitaran.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, kolaborasi ini memberikan peluang kepada kedua-dua pihak berkongsi kepakaran, maklumat terkini dan pembangunan teknologi bersama, serta melaksanakan projek kerjasama dalam bidang kajian air tercemar dan juga kajian saliran.

EAM 5827 800x600

“USM telah mula menjalinkan hubungan kerjasama dengan NAHRIM khususnya Makmal Kualiti Air (MKA) sejak November 2015 lagi, dan diharapkan melalui MoU ini, skop penyelidikan dapat dilebarkan, selain meningkatkan persahabatan dan jalinan kerjasama antara kedua-dua institusi demi kelestarian hidropersekitaran negara kita,” katanya di majlis penandatanganan dan pertukaran MoU di sini semalam.

Ahmad Farhan menandatangani MoU itu bagi pihak Naib Canselor USM dan disaksikan oleh Dekan PPSK, Profesor Dr. Afidah Abdul Rahim. Di pihak NAHRIM pula, MoU ditandatangani oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Ir. Dr. Azuhan Mohamed dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah, Ir. Hj. Mohd. Fauzi Mohamad.

Menurut Azuhan, sejak kebelakangan ini, isu kemerosotan kualiti air serta kehadiran bahan pencemar “contaminants of emerging concern” sering diperkatakan. Justeru itu, NAHRIM sebagai pusat penyelidikan dalam bidang hidropersekitaran mengambil cabaran ini bagi menjalankan penyelidikan kaedah pengesanan dan teknologi rawatan air yang efektif supaya bekalan air terawat bersih terjamin, dan kesejahteraan kualiti hidup rakyat dapat ditangani sebaik mungkin.

EAM 5799 800x600

“Saya berharap menerusi kolaborasi dalam penyelidikan berkaitan dan produk inovasi yang akan dihasilkan secara bersama antara NAHRIM dan PPSK akan menjadi batu loncatan ke arah memperkasakan lagi peranan kedua-dua pihak dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.

Antara perkara yang telah dipersetujui dan akan diusahakan bersama termasuk perkongsian penggunaan fasiliti/instrumen NAHRIM dan PPSK; perkongsian data kerja lapangan dan penganalisaan data; khidmat perundingan dan khidmat nasihat teknikal dalam bidang hidropersekitaran; penyeliaan praktikum dan latihan industri serta kerjasama dalam penulisan untuk kertas jurnal berimpak tinggi dan penulisan ilmiah.

EAM 5828 800x600

NAHRIM ditubuhkan pada tahun 1995 di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) menjadi pusat fokal kebangsaan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan juga pusat khidmat pakar atau perundingan dalam bidang hidropersekitaran yang meliputi sumber air dan perubahan iklim, lembangan sungai, pantai dan oseanografi, hidrogeologi serta kualiti air dan alam sekitar.

Turut hadir ialah Pengarah Kampus Kejuruteraan yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) USM.  

Teks: Nurul Huda Abdullah/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1270

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024