USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAIKAN ANGGOTA JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT PULAU PINANG

DSC 9544 800x600

USM, PULAU PINANG, 3 Mei 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini meraikan anggota-anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan komitmen demi memastikan keselamatan warga Kampus sentiasa dalam keadaan yang baik dalam satu majlis yang ringkas tetapi amat bermakna di Anjung Jannatun, kediaman rasmi Naib Canselor USM.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, dalam ucapan penghargaannya berkata, pihak universiti menyanjung tinggi komitmen serta bantuan yang diberikan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang selama ini di dalam banyak aktiviti yang dijalankan di dalam kampus, antaranya kawad kebakaran pengosongan bangunan Desasiswa dan aktiviti kempen keselamatan yang dijalankan oleh Universiti dari semasa ke semasa.

“Selain itu, jasa pihak Bomba dan Penyelamat juga amat dihargai ketika berlakunya kebakaran hutan di tanah milik USM, yang mana kadang kala mereka perlu berkhemah di dalam kawasan hutan USM bagi beberapa minggu, untuk mengawal kebakaran dan memastikan api tidak merebak ke kawasan kampus dan kawasan perumahan berhampiran.

DSC 9558 800x600

“Kami juga amat terhutang budi kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang yang membantu USM di dalam menyediakan perkhidmatan “standby” terutamanya apabila Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) digunakan untuk majlis konvokesyen USM setiap tahun,” katanya.

Naib Canselor turut menyatakan harapannya agar jalinan kerjasama dan hubungan baik antara pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang dengan jabatan-jabatan USM yang berurusan terus dengannya seperti Jabatan Keselamatan, Unit Integriti Pejabat Perundangan, Pusat Sejahtera dan Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP) akan berterusan malah dapat diperkukuh pada tahun-tahun akan datang.

DSC 9586 800x600

Terdahulu itu, Pengarah Jabatan Keselamatan USM, Profesor Madya Dr. P. Sundramoorthy, dalam ucapan aluannya, menzahirkan rasa terharu dan besar hati atas komitmen tinggi dan sumbangan besar yang diberikan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang yang sanggup mengorbankan nyawa mereka demi menjaga keselamatan warga USM dan juga masyarakat umum.

Turut diadakan, majlis penyampaian surat penghargaan oleh Naib Canselor kepada 23 pegawai dan anggota bomba dan penyelamat termasuk Pengarah Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang (Batu Kawan), Tuan Saadon Moktar.

DSC 9606 800x600

Hadir sama adalah Pengerusi Panel Integriti USM, Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly; Penasihat Undang-Undang USM, Dr. Khairul Anuar Che Azmi; Ketua UKKP, Mohammad Zaip Ahmad; anggota pasukan bomba dan penyelamat, serta pegawai dan staf Jabatan Keselamatan USM.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang ~ THE UNSUNG HEROES WHO RISK THEIR LIVES TO KEEP US SAFE.

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2070

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024